Friday, 20 April 2018

Rak Buku Baru

Hai semua.

Keluarga saya dah berpindah kembali ke Tawau.

Dan saya telah mendapat kembali bilik lama saya.

Jadi hari ini, saya akan menunjukkan susunan buku di dalam almari buku saya.

Rak buku 1
Bahagian atas rak 1
Bahagian tengah rak 1
Bahagian bawah rak 1
Rak buku 2
Bahagian atas rak 2
Bahagian tengah rak 2
Bahagian bawah rak 2
Gabungan rak kecil
Bahagian atas (1) rak kecil
Bahagian atas (2) rak kecil
Bahagian atas (3) rak kecil
Bahagian bawah (1) rak kecil
Bahagian bawah (2) rak kecil
Bahagian bawah (3) rak kecil
Ekstra: Antara buku yang saya sedang baca

Dengan bertambahnya rak dan buku, proses untuk membersihkan mereka semua turut bertambah. Saya habiskan sehari suntuk untuk membersihkan satu-persatu buku di dalam rak.

Biarpun begitu, sebagai seorang yang sangat mencintai buku, saya bercadang untuk membeli lebih banyak buku di masa akan datang. 

Muahahahaha XD XD


Thursday, 25 January 2018

Marionette: Prolog





17 Mei 2238 – Konflik di antara Syiah dan Sunni memuncak hingga mengakibatkan pertumpahan darah. Negara-negara Timur Tengah yang berperang akibat perbezaan ideologi, disokong oleh dua blok kuasa yang berbeza; Persekutuan Atlantik dan Liga Reformasi Asia. Persekutuan Atlantik dianggotai oleh Amerika, Eropah, Kanada, dan Amerika Utara. Liga Reformasi Asia dianggotai oleh Rusia, China, Korea, dan negara-negara Asia Tengah.        

28 Julai 2238 – Sebagai cara meluahkan ketidakpuasan hati mereka kepada Liga Reformasi Asia yang turut masuk campur dalam perang di Timur Tengah, Persekutuan Atlantik melakukan sekatan ekonomi kepada negara-negara yang bernaung di bawah Liga Reformasi Asia. Australia, New Zealand, Jepun, dan Asia Tenggara diberi tekanan untuk turut melakukan sekatan yang sama. Liga Reformasi Asia bertindak balas dengan menyalurkan lebih banyak dana dan senjata kepada negara Timur Tengah yang disokong mereka serta meluaskan pengaruh mereka kepada negara-negara yang bersifat neutral.

25 November 2240 – Letupan besar berlaku semasa lawatan setiausaha agung Liga Reformasi Asia, Nurzhan Kishkenbayev, ke Iran. Letupan yang didalangi ekstremis daripada Persekutuan Atlantik itu mengorbankan Nurzhan serta 35 orang ahli majlis tertinggi Liga Reformasi Asia dan pemimpi-pemimpin tertinggi Iran.

9 Januari 2241 – Rundingan damai antara Persekutuan Atlantik dengan Liga Reformasi Asia gagal apabila Liga Reformasi Asia menolak tuntutan Persekutuan Atlantik untuk menutup 4 pusat penyelidikan senjata nuklear mereka di Kazakhstan dan Rusia.

10 Januari 2241 – Tepat pukul 2 pagi, askar-askar Liga Reformasi Asia melepaskan tembakan pada askar-askar yang berkawal di sempadan Ukraine dan Belarus. Iran, Syria, dan Iraq yang disokong Liga Reformasi Asia, meletupkan kubu-kubu Turki yang berada di sempadan. Pukul 7 pagi, Persekutuan Atlantik mengisytiharkan perang ke atas Liga Reformasi Asia.

11 Januari 2241 - Perang dunia ketiga tercetus. Malaysia, Brunei, Singapura, Thailand, Indonesia, Filipina, Vietnam, Laos, Kemboja, Myanmar, Australia, New Zealand, Jepun, India, Pakistan, dan Sri Lanka mengambil dasar neutral dan tidak menyertai peperangan kedua-dua blok besar itu. Untuk melindungi negara masing-masing, 16 buah negara ini membentuk satu pakatan baru yang dinamakan Perikatan Biru. Perikatan Biru mengikat janji bersama untuk saling tolong-menolong dalam hal ehwal ekonomi, pendidikan, dan ketenteraan.

Tahun 2243 – Negara-negara Perikatan Biru mengalami masalah kebanjiran pelarian perang. Thailand, Myanmar, Singapura, Brunei dan Pakistan mengambil keputusan untuk menutup pintu sempadan mereka.

Tahun 2244 – Australia, New Zealand, India, Sri Lanka, Indonesia, Kemboja, Jepun, Laos dan Filipina berhenti menerima pelarian perang.

14 Februari 2246 – Pusat penyelidikan senjata nuklear di Rusia dan Kazakhstan diletupkan Persekutuan Atlantik. Letupan dahsyat yang mengorbankan hampir 15 juta penduduk itu menghancurkan sebahagian besar Orenburg, Irkutsk, Almaty, dan Karaganda. Radiasi nuklear yang menular mengakibatkan kematian beratus ribu penduduk di wilayah berhampiran.

Dengan kekuatan ketenteraan yang semakin lemah, Liga Reformasi Asia akhirnya bertindak balas dengan melancarkan peluru berpandu dari Korea dan China ke arah ibu-ibu negara anggota Persekutuan Atlantik sehingga mengorbankan lebih 29 juta penduduk.

13 Mac 2246 -  Persekutuan Atlantik menawarkan rundingan damai kepada Liga Reformasi Asia. Perikatan Biru bertindak sebagai moderator dan pemerhati kepada rundingan damai yang dilakukan. Perang dunia ketiga yang berlangsung selama 5 tahun berakhir apabila gencatan senjata dipersetujui oleh kedua-dua blok negara yang terlibat.

18 Ogos 2246 – Malaysia menutup sempadannya apabila jumlah imigran yang masuk hampir menyamai 37% jumlah penduduk asal Malaysia.

Disember 2246 hingga Februari 2252 - Penduduk-penduduk asal tidak berpuas hati apabila imigran mula menuntut hak mendapatkan perubatan, pekerjaan, dan pendidikan di Malaysia. Jenayah turut berleluasa sehingga mengakibatkan kemerosotan daripada segi ekonomi dan nilai moral. Kemuncak kepada ketidakpuasan hati ini ialah tragedi yang dinamakan Julai Berdarah pada 6 Julai 2249. Sebahagian penduduk asal yang marah telah menyerang perkampungan besar imigran di Kuala Lumpur.

Pembantaian yang berlangsung selama 2 hari itu telah mengorbankan 2788 orang imigran, 47 orang anggota polis dan tentera, dan 135 orang penduduk asal Malaysia. Satu kertas cadangan untuk mengeluarkan imigran dari Malaysia dibuka. Malaysia berunding dengan negara Perikatan Biru yang lain untuk menerima sebahagian besar imigran. Walau bagaimanapun, rundingan tersebut gagal. Krisis ekonomi dan kemanusiaan teruk yang melanda seluruh dunia menyebabkan negara-negara ini tidak mahu menerima imigran dari Malaysia.            

Malaysia kemudian mencadangkan kepada negara asal imigran untuk membawa rakyat mereka di Malaysia kembali ke negara masing-masing. Namun, kerana terjejas teruk akibat perang dan radiasi nuklear, negara-negara ini tidak mampu membawa pulang jutaan penduduk mereka dari Malaysia.

Dalam pada itu, penduduk dan ahli politik Malaysia yang tidak berpuas hati mengenakan sekatan ke atas imigran. Ada peniaga dan klinik yang tidak mahu berjual-beli dan memberikan rawatan kepada imigran. Polisi yang bermula dari beberapa buah kedai dan pusat rawatan, mula merebak ke kedai-kedai dan pusat rawatan yang lain. Slogan “Malaysia untuk orang Malaysia” mula dilaungkan di sana-sini.

Penduduk dan ahli-ahli politik bangkit untuk menyuarakan ketidakpuasan hati kepada perdana menteri Malaysia, Dr. Afnan Dollah dan mendesak agar beliau meletak jawatan. 3 tahun kemudian, dengan sokongan yang semakin menurun di kalangan rakyat dan ahli politik lain, Dr. Afnan Dollah melepaskan jawatannya sebagai perdana menteri sekaligus menamatkan 17 tahun pemerintahan beliau. Beliau digantikan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Lutfi.

Jeneral Lutfi yang anti-imigran, telah mewujudkan dasar baru. Setiap bandar besar di Malaysia dibahagikan kepada dua; Imigran dan Penduduk Asal. Penduduk-penduduk asal Malaysia diarahkan berkumpul bersama dan mendiami pusat bandar. Tembok-tembok yang tinggi dibina di sekeliling pusat bandar. Ia berfungsi sebagai benteng pertahanan  untuk memisahkan kediaman penduduk asal dan imigran. Penduduk asal bebas masuk ke kawasan  imigran namun imigran tidak dibenarkan masuk ke dalam tembok besar.
  
15 tahun berlalu dan bilangan imigran semakin berkurangan. Ramai di antara mereka mati akibat kebuluran dan tidak mendapat rawatan yang sempurna. Tidak kurang juga ramai yang hilang begitu sahaja, ghaib tanpa khabar dan berita. Apabila jumlah mereka semakin berkurangan, Jeneral Lutfi mengarahkan agar tembok besar yang mengelilingi bandar-bandar di Malaysia, dirobohkan. Imigran dibenarkan berinteraksi dan bergaul dengan penduduk asal.      

Dalam masa yang sama, penduduk mula membuka mata dengan kekejaman Jeneral Lutfi dan konco-konconya yang menyalahgunakan kuasa dan menggelapkan berbilion ringgit daripada perbendaharaan negara. Jeneral Lutfi turut mengenakan cukai yang tinggi kepada rakyat. Kebebasan bersuara dihapuskan. Subsidi perubatan dan pendidikan ditarik untuk disalurkan pada penyelidikan teknologi senjata.

Pada penghujung tahun 2267, parti-parti yang mengkritik kerajaan pimpinan Jeneral Lutfi mulai muncul.

Tahun 2268 - Overrank A-Team diwujudkan. Askar yang kuat, kejam, dan tanpa perasaan ini merupakan tentera khas Jeneral Lutfi. Bilangan mereka tidak seramai askar biasa, namun kehadiran mereka cukup digeruni sesiapa sahaja. Mereka bertanggungjawab menangkap dan membunuh mana-mana penduduk dan pemimpin parti politik lawan yang mengritik pemerintahan Jeneral Lutfi. Kesetiaan askar-askar kejam ini kepada Jeneral Lutfi menyebabkan mereka digelar ‘Marionette’ oleh orang awam. Sesiapa sahaja yang melawan Jeneral Lutfi akan dihapuskan dalam sekelip mata. Kerana bimbang anggota tenteranya akan berpaling tadah, Jeneral Lutfi mengurangkan kuasa pasukan tentera. Askar-askar Overrank A-Team kini mengambil alih tampuk ketenteraan.

Tahun 2271 – Memoria, pertubuhan rahsia yang terdiri daripada golongan imigran dan penduduk asal Malaysia, ditubuhkan oleh bekas wartawan jenayah terkenal, Alex Rompin. Alex Rompin yang bijak telah meletakkan ramai pengintip dalam ‘lingkaran besi’ Jeneral Lutfi. Memoria menyalurkan maklumat-maklumat penting angkatan tentera dan bukti-bukti korupsi dan kekejaman kerajaan pimpinan Jeneral Lutfi kepada parti-parti politik yang menentangnya.

Tahun 2275 – Alex Rompin memecahkan pertubuhan Memoria kepada dua; Red Memoria dan Blue Memoria. Red Memoria yang kebanyakannya dianggotai oleh imigran, bertindak sebagai pelindung kepada Blue Memoria yang dianggotai oleh penduduk asal Malaysia. Red Memoria dilatih menggunakan senjata dan berfungsi sebagai askar kepada pertubuhan Memoria.

Tahun 2280 (kini) – Slogan ‘Jatuhkan Kerajaan Lutfi’ semakin rancak dilaungkan ketika perjumpaan rahsia parti anti-Lutfi termasuklah pertubuhan Memoria. Rasa tidak puas hati penduduk Malaysia memuncak. Walaupun begitu, kebanyakan penduduk memilih untuk menutup mulut kerana tidak mahu merisikokan nyawa masing-masing. Marionette bisa muncul di mana-mana sahaja untuk menangkap penduduk yang menentang Jeneral Lutfi.

Memoria serta parti-parti politik rahsia lain meningkatkan jumlah keahlian mereka dengan merekrut lebih ramai penduduk. Matlamat mereka tidak pernah berubah; menjatuhkan Jeneral Lutfi daripada singgahsana emasnya. Namun sebelum Jeneral Lutfi bisa disingkirkan, mereka harus memikirkan cara untuk menewaskan Marionette yang menjadi tulang belakang diktator kejam itu terlebih dahulu.

-Farhanah Atiqah

Azam Baru

Azam baru.

Dua patah perkataan yang biasa didengar pada awal tahun.

Seperti anda semua yang punya azam baru untuk tahun 2018, saya juga ada azam baru saya sendiri.

Azam saya ialah mencari pekerjaan, kerana saya telah pun menamatkan pengajian sarjana saya semester ini.

Dalam masa yang sama, saya juga ada azam lain; baca lebih banyak buku, tulis banyak cerita yang menarik, habiskan tulis cerita yang dah ditulis, dan kurangkan makan. :D

Untuk pengetahuan, cerita Takdir Yang Mengikat itu saya dah tukar namanya ke Irtihal.

Saya juga ada tulis beberapa cerita baru. Saya letakkan di Wattpad dan Portal Ilham.

Saya turut merancang untuk meletakkan ia di dalam blog ini.

Cerita Perjanjian tu saya tukar namanya ke Agnieszka.

Jadi buat Takdir Yang Mengikat dan Perjanjian, saya akan muatnaik kembali ceritanya ke blog ini dengan tajuk baru; Irtihal dan Agnieszka.

Selamat membaca dan walaupun sudah terlambat, saya ingin mengucapkan selamat tahun baru kepada rakan-rakan yang sudi singgah ke blog ini.

Terima kasih.

-Farhanah Atiqah

Thursday, 27 July 2017

Catatan Ahli Varia: Belphegor (2)

Aku menjeling ke arah si Katak. Matanya memandang tepat pada filet mignon tadi. Wajah tanpa ekspresinya membuatkan aku sukar meneka apa rancangannya untuk mendapatkan filet mignon itu. Aku menoleh ke sebelah, memandang Mammon yang sedang duduk. ‘Duduk’, bukanlah satu perkataan yang tepat. Mammon sedang terapung di atas kerusi bayinya. Mataku kemudian terarah ke Levi. Sama seperti si Katak Fran, mata Levi juga tajam memandang ke filet mignon tersebut. Aku mencebik. Tidak kiralah apa yang mereka lakukan, filet mignon itu tetap akan menjadi milik aku. Kerana aku seorang putera, bukan orang kebanyakan seperti mereka semua. Shishishishishi~

“Filet mignon ni…” Levi mengucap dengan nada yang rendah. 

“Aku punya!” Mammon menjerit lalu menghalakan tangan kecilnya ke arah pinggan filet mignon. Namun belum sempat Mammon mengambilnya, Levi terlebih dahulu mengeluarkan parabolanya lalu melibas Mammon. 

“Muu!!” jerit bayi malang itu lalu terbang melayang ke luar tingkap. 

Sedang Levi sibuk meraikan kejayaannya menyingkirkan Mammon, si Katak memakai sarung tangan ‘Realiti Ilusi’ miliknya. 

“V..voi Flan! Kau jangan berani nak gunakan senjata di sini!” Si komander berdarah mengugut.

Dengan muka bodohnya, Flan memberitahu, “Ini cuma sarung tangan, komander.”

Ushishishishi~ Aku hanya perlu menikmati tayangan yang sedang berlaku di hadapanku, kerana akhirnya, aku juga yang akan dapat menikmati filet mignon itu nanti.

Squalo mengeluarkan kotak senjatanya lalu memasukkan cincin Hujan ke dalam lubang. Sesaat kemudian, Alo si jerung keluar daripada kotak senjata Squalo lalu menyerang Flan. Untuk mempertahankan diri, Flan mencipta bazooka menggunakan ilusi lalu melepaskan bertubi-tubi tembakan ke arah Alo. 

“Alo, elak!” 

Alo mengelak serangan bazooka Flan. 

“Tch!” dengus si Katak. 

“Hahaha! Sarung tangan kau tu bukannya lawan Alo, Flan! Bersedialah untuk mati!” Si Komander menjerit lebih kuat daripada bunyi tembakan Bazooka. Aku cukup hairan bagaimana peti suaranya boleh bertahan sehingga hari ini.

Si Katak mencebik.

Menggunakan ilusinya, dia mencipta seekor jerung betina. (Jangan tanya bagaimana aku tahu ia jerung betina) Melihat jerung betina itu, pergerakan Alo terhenti. Si Katak menggunakan kesempatan itu dengan mencipta sangkar jerung yang besar, lalu memasukkan jerung betina ciptaannya ke dalam sangkar. Alo mengikuti jerung ilusi itu ke dalamnya dan pang!! Pintu sangkar pun ditutup.

“V…voi! Mengurung binatang di dalam sangkar adalah satu jenayah dalam undang-undang mafia!” pekik si Komander.

“Hohohoho…Squ-chan, itu bukan satu kesalahan jika sangkar itu hanyalah sangkar ilusi…” Lussuria memberitahu.

“Voi Lussuria! Walaupun dicipta menggunakan ilusi, sangkar itu wujud!” 

“Mengikut undang-undang mafia, ilusi dibenarkan. Jadi Flan tidak melakukan kesalahan,” ujar Lussuria.

“Ushishishishishi~ Kau masih mempunyai pedang panjang kau yang hodoh itu, komander.” Aku mengingatkan Squalo.

“Bel! Berani kau cakap pedang aku ni hodoh!” Squalo melibas-libaskan pedangnya di udara. 

Sebilah pisau stik melayang di udara. Ia tepat mengenai belakang kepala si komander. 

“Jangan memekik, sampah!” 

Anak mata merah bos merenung Squalo dengan tajam. 

“V…voi!! Bos tak guna!”

Bos mengeluarkan kedua-dua X-Gun miliknya, lalu menembak bertubi-tubi ke arah Squalo.

“Voii!!!!” Jeritan komander yang cuba mengelak tembakan Bos memenuhi ruangan makan. Jeritan yang bagaikan satu muzik indah itu menjadi melodi di telinga seorang putera sepertiku.

Si Katak mengambil peluang ini. Dia menghasilkan jaring ikan menggunakan ilusi lalu cuba mengaut filet mignon di atas meja. 

“Tsk! Amatur!” ucapku. 

Levi membuka kesemua parabolanya.

“Super Levi Volta!” Levi menjerit kuat. Parabolanya yang disaluti elektrik bervoltan tinggi dipancarkan ke arah Flan.

Si Katak tidak sempat mengelak lalu terbang bersama parabola Levi ke arah dinding, yang kemudiannya turut hancur dipecahkan.

Ushishishishi~ Tiga orang pencabar sudah menemui pengakhiran mereka. Sekarang cuma tinggal aku dan Levi.

Levi memukul-mukul dadanya bagaikan gorila yang terlepas dari zoo. Kemudian dia dengan beraninya menghalakan jari telunjuk ke arahku.

“Bel, tinggal kau seorang lagi!” ujar Levi.

Aku turun dari kerusi lalu berjalan ke arah tingkap.

“Levi,” panggilku.

“Kau nak mengaku kalah, Bel?” soalnya sinis.

Aku mengeluarkan sesuatu dari kot Varia yang kupakai. Melihat apa yang aku keluarkan, peluh segera menitik di dahi Levi. Matanya terbuntang.

“Itu…itu…”

Aku lalu melayangkan apa yang aku keluarkan sebentar tadi ke luar jendela.

“Tidak!!!!” Levi menjerit lalu melompat keluar dari jendela. Barangkali mahu mendapatkan kesemua gambar Bos yang aku buang sebentar tadi.

Dengan itu, Levi turut lenyap daripada pandangan mata.

Ah, aku harap dia mati. Kurang sedikit manusia yang menyesakkan di istana Varia ni. Ushishishishi~ Aku kembali ke meja makan. 

Cuma tinggal aku, Lussuria, dan Bos di situ. Tanganku mengambil filet mignon di atas meja. Selepas memindahkan kesemua filet mignon ke pingganku, aku makan seperti biasa. Kerana aku seorang putera.

Pak! Pintu ruang makan dibuka.

Aku dan Lussuria tergamam. Mataku membesar sebaik melihat kelibat yang berjalan masuk ke dalam.

Bos? Tapi macam mana?

Aku memandang tempat duduk Bos. ‘Bos’ yang duduk di situ sudah hilang.

“Kufufufufu~” 

Mataku terarah pada wajah seseorang di tepi tingkap tempat Levi melompat tadi. 

Rokudo Mukuro dengan rambut nanasnya tersenyum lebar ke arah aku dan Lussuria.

“Terima kasih untuk filet mignon yang sedap tu. Arrivederci. ” ujar Mukuro sebelum melompat keluar.

Aku menelan liur. Perlahan-lahan aku memusing kepala ke belakang. Bos sedang memandang aku dan Lussuria dengan renungan mata yang bisa membunuh.

“B…bos…filet mignon…saya boleh jelaskan…” Suara Lussuria terketar-ketar.

Bos mengeluarkan kotak senjatanya.

Dan dengan itu, sekali lagi istana Varia meletup untuk bulan ini.

Sunday, 14 May 2017

Sasha & Misha: Episod 2

Mikhail: Oh Sasha, sahabat lamaku. Sudah lama kita tidak berjumpa.

Alexander: Sebenarnya cuma 9 minggu yang lalu.

Mikhail: Ya, ya. Apa khabar kau sekarang?

Alexander: Sihat. Cuma krim yang kau sarankan itu langsung tidak mengurangkan kedutan di wajah.

Mikhail: *menunjukkan reaksi hampir mati akibat terlalu terkejut* Ya ke? Oh Sasha, aku terlupa memberitahu sesuatu kepadamu.

Alexander: Apa dia, Misha?

Mikhail: Sebenarnya, di samping menggunakan krim tersebut tanpa henti, aku turut mengamalkan jus Khitryy. Fungsinya ialah untuk membersihkan usus; membersihkan kerak-kerak yang melekat pada dinding usus. Usus yang bersih membuatkan kita sihat dan membantu kita nampak 30 tahun lebih muda.

Alexander: Di mana aku boleh mendapatkan jus tersebut?

Mikhail: D. 52, Jalan Govno. Dijual oleh seorang nenek yang memakai topi merah. Untuk pengetahuanmu, nenek itu sebenarnya berusia 105 tahun. Tapi kerana mengamalkan meminum jus Khitryy yang diperbuat daripada campuran 100 buah-buahan tempatan, dia kelihatan 75 tahun lebih muda daripada usia asalnya.

Alexander: WOW! Jika begitu, aku harus pergi mendapatkan jus tersebut!

Maka Sasha pun meminta diri daripada Misha untuk ke alamat yang diberikan. Misha tersenyum licik. Wanita yang menjual jus Khitryy itu ialah adik perempuannya, Masha. Misha lalu menelefon adiknya.

Mikhail: Adikku Masha, sebentar lagi ada pelanggan datang. Jangan lupa pakai baju lama moyang kita dan topi merahnya.

Maria: Baik, abang.

Misha memasukkan telefon bimbit di dalam poket seluar. Kemudian dia mengeluarkan botol ubat yang berlabel ‘Botox’ dan sebatang picagari.

Mikhail: Ah Sasha. Mana mungkin kita dapat menjadi muda dengan hanya meminum jus yang berharga 200 ruble. Aku sendiri terpaksa menghabiskan 200,000 ruble untuk awet muda. Sekali lagi kau aku tipu, sahabatku!