Wednesday 14 May 2014

Cabaran Membaca Tahun 2014


Saya suka membaca. Sangat-sangat suka. Tahun lepas saya membaca 30 buah buku novel. Tahun ini pula, saya meletakkan sasaran membaca 40 buah buku novel. Hingga ke saat ini, saya sudah pun membaca 18 buah buku. 

Berikut ialah buku-buku yang telah saya baca:
1. Throne of Glass
2. Fangirl
3. Goddess Girls: Athena the Brain
4. Goddess Girls: Artemis the Brave
5. Paranormal
6. Paper Valentine
7. The Coldest Girl in Coldtown
8. Crown of Midnight
9. More Weird Things Customers Say in Bookshops
10.Goddess Girls: Aphrodite the Beauty
11.Goddess Girls: Persephone The Phony
12.Goddess Girls: Persephone The Daring
13.Joyland
14.Lautan Di Hujung Lorong
15.Illustrated Grimm's Fairy Tales
16.Doll Bones
17.Matilda
18.Goddess Girls: Medusa The Mean

Masih jauh lagi untuk mencapai sasaran saya iaitu 40 buah buku namun saya akan terus berusaha. Tahun ini masih panjang.

Di antara semua buku-buku di atas, saya paling meminati dan obses dengan siri Throne of Glass. Watak utama buku ini ialah seorang pembunuh yang bernama Celaena Sardothien. Dia berusia 18 tahun dan merupakan pembunuh yang terkenal namun malang baginya apabila dia dikhianati dan ditangkap oleh kerajaan Adarlan dan dihantar untuk menjadi buruh paksa di lombong garam Endovier. Suatu hari dia ditawarkan oleh putera mahkota Adarlan, Dorian Haviliard untuk dibebaskan dari lombong garam tersebut dengan satu syarat; menjadi pahlawan yang akan mewakili putera tersebut dalam satu pertandingan. Chaol Westfall, kapten kepada pengawal-pengawal di Adarlan pula diberi tugasan untuk berlatih bersama dan memerhatikan Celaena. Bermulalah kisah hidup baru Celaena sebagai pahlawan yang mewakili Dorian.

Throne of Glass versi UK

Crown of Midnight versi UK

Jika buku pertamanya ialah superb, buku kedua pula ialah double superb. Dalam buku kedua, kisah hidup Celaena diteruskan dengan misi-misi yang diberikan oleh raja Adarlan kepadanya. Di dalam buku kedua ini juga kisah cinta Celaena dengan Chaol dikembangkan. Banyak bahagian yang mengejutkan saya di dalam buku ini. Saya rasa hampir nak pengsan tatkala selesai membaca buku Crown of Midnight. Selama seminggu, saya asyik memikirkan jalan cerita dalam buku ini. Serius cakap, seumur hidup saya, belum ada buku yang benar-benar berjaya membuat saya mendapat 'hangover'. 

Siri ketiga untuk buku ini, Heir of Fire akan berada di pasaran pada bulan September 2014. Melihat kulit depan buku ini sudah cukup untuk membuat saya melonjat kegembiraan.

Heir of Fire versi UK

September, saya sendiri tidak pasti jika saya mampu menunggu begitu lama. Nasib baiklah ada novella Throne of Glass yang mampu menghiburkan hati saya.

The Assassin's Blade

The Assassin's Blade mengandungi 5 cerita di mana kesemua jalan cerita itu terjadi sebelum cerita Throne of Glass. Maksudnya, sebelum Celaena ditangkap dan dimasukkan di penjara lombong garam Endovier. Saya memiliki buku ini namun belum membacanya disebabkan kalau boleh saya nak simpan kegembiraan membaca cerita buku ini di kala saya kesedihan (Entah mengapa bunyinya kedengaran sangat pelik).

Ketika membaca siri Throne of Glass, saya dapat rasakan yang setiap karakter di dalam buku itu benar-benar hidup. Seolah-olah mereka berada di sekeliling saya. Seolah-olah saya berada di dunia mereka, memerhatikan mereka dan memahami perasaan mereka. Buku ini berjaya menggetarkan jiwa saya. Syabas saya ucapkan kepada penulis buku ini, Sarah J. Maas yang berjaya menghidupkan setiap karakter di dalam buku ini. Saya dapat rasakan kecintaan penulisnya terhadap karya tulisannya dalam setiap bait ayat yang dikarang olehnya.

Setakat ini sahaja catatan saya untuk kali ini. Semoga bertemu kembali dalam catatan yang akan datang.

Sumber gambar: Wikipedia, Goodreads.com

Tuesday 13 May 2014

Joyland


Tajuk asal: Joyland

Penulis: Stephen King

Muka surat: 388

Sinopsis: Terjemahan Bahasa Malaysia pertama untuk penulis bestseller antarabangsa Stephen King.
Demi mengubati hati yang telah dilukai seorang gadis, Devin Jones, seorang pelajar kolej, membuat keputusan untuk bekerja di Joyland sewaktu cuti musim panas. Namun dugaan yang dihadapinya di sana ternyata lebih dahsyat. Di Joyland, persoalan demi persoalan di luar jangkauan minda menanti Devin: sebuah legasi pembunuhan yang kejam, untung nasib seorang kanak-kanak yang berada di ambang maut, dan sebuah pengajaran tentang realiti hitam kehidupan — serta alam selepas kematian — yang mengubah dunianya buat selama-lamanya.
*Sinopsis diambil daripada fixi.com.my

Ulasan saya: Berbaloi dibaca. Pada mulanya, saya agak bosan kerana jalan ceritanya agak perlahan. Kehidupan watak utama - Devin Jones (21 tahun), bagi saya amat menarik. Bekerja di Joyland semasa musim panas untuk menampung kehidupan universitinya. Wataknya digambarkan sebagai lelaki yang biasa-biasa sahaja, dengan kekasih yang tinggal jauh daripadanya dan kehidupan barunya di Joyland North Carolina.

Di Joyland, teman rapatnya ialah Tom dan Erin. Kehidupan Devin yang biasa-biasa saja itu bertukar luar biasa apabila dia menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan yang tercekik hotdog di Joyland. Kehidupannya bertambah menarik dengan kehadiran Annie dan anaknya, Mike. Mike, budak lelaki yang memiliki tubuh badan yang lemah mempunyai kebolehan 'melihat'.
 
Pada suatu hari Devin, Tom, dan Erin masuk ke Horror House bersama-sama. Di situ, Tom telah melihat hantu Linda Gray, gadis yang dibunuh di dalam Horror House itu beberapa tahun yang lalu. Sejak itu, Devin menjadi lebih berminat dengan kes pembunuhan Linda Gray dan pelbagai andaian timbul di mindanya tentang pembunuh itu. Setelah memutuskan hubungan dengan Wendy Keegan juga, Devin menjadi lebih rapat dengan Annie dan anaknya sehingga akhirnya mereka bertiga pergi ke Joyland bersama-sama walaupun pada awalnya Annie tidak bersetuju dengan cadangan tersebut memandangkan keadaan fizikal Mike yang tidak berapa baik. Melalui maklumat-maklumat yang diberikan oleh Erin mengenai kes Linda Gray dan beberapa kes pembunuhan yang lain, Devin akhirnya berjaya meneka siapa pembunuh Linda yang sebenarnya. 
 
Saya suka unsur kehidupan yang diutarakan dalam buku ini. Kehidupan Devin tidak sempurna, namun dia sentiasa melakukan yang terbaik dalam pekerjaannya. Saya juga suka melihat persahabatan yang kukuh di antara Devin, Tom, dan Erin. Karakter Erin yang pada awalnya kelihatan minor akhirnya berkembang dan, Erinlah yang banyak membantu Devin menyelesaikan misteri di Joyland itu.

Keseluruhannya, jalan ceritanya menarik, walaupun agak perlahan di permulaan cerita.


Sumber gambar: fixi.com.my