Wednesday 4 June 2014

Etika Dalam Menulis Blog

Saya tahu entri saya ini boleh mendatangkan marah. Namun saya rasa terpanggil untuk menulis tentangnya.

Saya perasan dalam kebanyakan blog berbahasa Melayu yang saya baca, isi kandungan yang ada di dalamnya sama sahaja. Terutama jika ia melibatkan entri yang berunsur ilmiah. Berkongsi entri yang berunsur ilmiah merupakan sesuatu yang baik, namun apa yang membuatkan saya hairan ialah, pemilik blog yang mengambil entri daripada blog lain langsung tidak memberikan kredit kepada pemilik asal entri tersebut. Dia ambil bulat-bulat penulisan daripada penulis lain tanpa meletakkan apa-apa maklumat tentang blog yang penulisannya diambil. Ayat pun langsung tidak diubahnya. Begitu juga dengan artikel daripada laman web yang ada di internet. Ada juga sesetengah penulis blog yang langsung tidak menyertakan dari mana artikel yang mereka letakkan dalam blog mereka itu diambil. Seolah-olah merekalah orang pertama yang mengeluarkan artikel tersebut.

Mari kita lihat satu contoh, katakanlah ada 2 orang penulis blog, A dan B. Penulis blog A menulis entri di blognya panjang berjela-jela. Kemudian penulis blog B ambil entri tersebut bulat-bulat dan letak di dalam blognya tanpa memberi kredit kepada penulis blog A. Kemudian ada pembaca yang datang membaca entri yang diambil oleh penulis blog B tadi. Kemudian pembaca-pembaca tersebut mula bertanya soalan. Soalan yang si penulis blog B pun tidak tahu macam mana mahu jawab. Akhirnya dia cakap "Maaf. Saya cuma copy paste sahaja entri ni daripada blog lain." Apa agaknya pandangan si pembaca tadi kepada penulis blog B? Jika saya pembaca tersebut, pasti terdetik dalam hati saya kata-kata ini, "Tahu copy saja tapi isi kandungan pun dia tak tahu." Selain daripada itu, kekeliruan tentang pemahaman mengenai isi kandungan sesuatu entri juga akan muncul. Terutama sekali jika isu yang diutarakan dalam entri tersebut merupakan isu panas yang boleh mendatangkan pelbagai spekulasi kepada masyarakat sekeliling.

Ini membuatkan saya terfikir, apa tujuannya penulis blog B ambil entri yang susah payah ditulis oleh penulis blog A tanpa memberikan kredit kepadanya? Adakah sebab penulis blog B tadi mahu tunjukkan kepada orang lain yang dia boleh menulis entri yang begitu hebat? Ataupun kerana dia ingin menambah jumlah pelawat ke blognya? Ataupun kerana dia memang mahu berkongsi ilmu dengan pembaca-pembaca yang lain? Tepuk dada, tanya isi hati anda.

Saya tahu, sebahagian daripada anda yang membaca entri yang saya tulis sekarang ini pasti merasa perkara ini bukannya isu besar. Tapi bagi saya isu ini penting untuk diulas memandangkan ia melibatkan keaslian dalam sesuatu tulisan dan juga isu plagiarisme. Selain itu, memberikan sumber daripada mana kita memiliki maklumat tentang perkara yang ditulis juga akan menguatkan lagi hasil penulisan kita. Contohnya kita menulis tentang kebaikan buah epal. Panjang berjela-jela kebaikan buah epal yang kita tulis tapi di penghujungnya, kita tidak memberitahu daripada mana kita dapat maklumat untuk entri yang kita tulis itu. Adakah anda rasa orang lain akan percaya dengan apa yang ditulis oleh anda? Mungkin ya, jika anda seorang doktor. Tapi jika anda cuma seorang yang biasa seperti saya, pasti orang akan ragu-ragu dengan penulisan anda.

Sejak memasuki universiti, saya menjadi semakin berhati-hati dengan apa yang saya tulis. Hal ini kerana dalam setiap laporan atau kajian literatur yang kami tulis, kami perlu memberikan kredit kepada penulis asal artikel yang kami ambil isi kandungannya. Saya tidak bermaksud penulis-penulis blog perlu menulis dengan sebegitu formal. Tapi bagi saya jika mereka menyertakan laman web mana sumber penulisan mereka itu didapatkan di bawah entri penulisan mereka, itu sudah cukup untuk memberi kredit kepada laman web/blog yang mengeluarkan artikel/entri asal. Contohnya meletakkan [Sumber: ....] di bawah entri yang mereka tulis (sekiranya mereka mengambil/merujuk entri daripada laman web/blog tersebut). Ini dapat menolong laman web/blog asal menaikkan rating pelawat mereka.

Terdapat juga sesetengah blog yang saya lihat meletakkan sumber mereka sebagai Google. Ini benar-benar membuatkan saya hairan. Bagaimana Google boleh menjadi sumber? Google cumalah suatu enjin carian, bukannya tempat di mana artikel/entri yang anda ambil itu dikeluarkan.

Akhir kata, maafkanlah saya jika saya telah menyinggung perasaan anda. Entri yang saya tulis ini hanyalah sekadar peringatan dan perkongsian bersama.