Tuesday 19 August 2014

Tertulis Di Bintang-Bintang



Tajuk Asal: The Fault in Our Stars

Penulis: John Green

Muka surat: 326

Sinopsis:
Bab terakhir hidup Hazel Grace Lancaster sudah siap tertulis ketika dia didiagnos dengan kanser. Walaupun tumornya mengecil dengan keajaiban perubatan yang dinamakan Phalanxifor, dia hidup dengan penantian yang tak kunjung tiba sehinggalah suatu hari di Kumpulan Sokongan, kejutan paling besar dalam hidupnya muncul dalam bentuk seorang budak lelaki hot bernama Augustus Waters. 

Ini cerita tentang kesan-kesan sampingan kepada evolusi manusia yang berani memilih untuk jatuh cinta. 

Tapi tak semua yang tertulis di bintang-bintang itu sempurna.

*sinopsis diambil daripada fixi.com.my

Ulasan saya: Saya tidak menangis. Saya cuma mengalirkan air mata saja. Saya pernah membaca buku asal Bahasa Inggerisnya sebanyak 2 kali tahun lepas. Kedua-dua kali tersebut saya menangis. Agaknya mungkin kerana saya sudah tahu tentang jalan cerita buku ini, ataupun mungkin juga kerana ia diterjemah ke Bahasa Melayu, unsur-unsur perasaan yang ditulis oleh John Green berkurangan sedikit. (Bila saya cakap sedikit, ia betul-betul sedikit)

Apapun, saya cukup menyukai buku ini. 

Suka; itu terlalu sedikit. 

Saya menyintai buku ini. 

Saya jatuh cinta lagi pada Hazel Grace, Augustus Waters, Isaac, dan semua watak-watak di dalam buku ini. Namun cinta saya lebih kepada Hazel Grace dan Augustus Waters. Dua orang remaja yang ditakdirkan untuk jatuh cinta. Mereka tidak seperti remaja-remaja yang lain. Hazel Grace menghidap kanser, Augustus Waters pula merupakan remaja yang hilang kaki kerana kanser. Mereka bertemu buat pertama kalinya di Support Group, dan mendapati yang mereka tertarik antara satu sama lain. Saya sukakan chemistry di antara mereka. Perasaan mereka, tingkah-laku mereka, semuanya diterangkan dengan jelas dan mendalam. 

Kisah cinta mereka pada permulaan agak klise, tapi hakikatnya ia lebih daripada mana-mana novel cinta yang pernah saya baca.

"Tapi awak tak ada nombor telefon saya," katanya.

"Saya syak awak dah siap tulis dalam buku ni."

Dia tersengih macam kerang busuk lagi. "Dan awak kata kita tak cukup kenal antara satu sama lain."

Dialog di antara mereka, oh, saya jatuh cinta dengan setiap dialog mereka. Kata-kata mereka cukup terkesan dalam hati saya, dan saya tak mampu nak keluarkannya daripada kepala saya. Sukar untuk dipercayai yang remaja boleh mengungkapkan kata-kata seperti mereka, namun harus diingati yang mereka bukan remaja biasa. Memikirkan tentang kematian dan kehidupan yang tidak sentiasa menyebelahi mereka membuatkan mereka matang dengan cepat. Jauh lebih matang berbanding remaja lain yang sebaya mereka. 

"Aku takkan  buat begitu kepada kau," aku memberitahunya.

"Oh, aku tak kisah Hazel Grace. Akulah orang paling bertuah kalau kau yang lukakan hati aku"

Tidak dapat dinafikan yang pengaruh buku dalam kehidupan manusia sememangnya cukup kuat, sehingga membuatkan kita sanggup membuat apa sahaja untuk mendapatkan pengakhiran cerita sesebuah buku yang tiada penamatnya. Demi mendapatkan penamat watak-watak dalam buku yang cukup dicintainya, Hazel dan Augustus terbang ke Amsterdam demi menemui penulis buku tersebut. Augustus melakukannya untuk Hazel, demi menunaikan hajat Hazel. Namun Augustus punya rahsia. Rahsia yang diketahuinya sewaktu Hazel dimasukkan ke dalam ICU, iaitu sebelum mereka berangkat ke Amsterdam. Rahsia itu pula, cukup untuk mengubah dunia mereka berdua. (Dan membuatkan saya mengalirkan air mata)

"Aku akan lawan. Aku akan lawan untuk kau. Kau jangan risau tentang aku, Hazel Grace. Aku okey. Aku akan cari jalan untuk lepak-lepak dengan kau dan kacau kau sampai bila-bila."

Ayat yang paling saya suka.

"Dunia ini," katanya, "tak dicipta untuk memenuhi semua hajat kita,"

Dan juga kata-kata yang cukup mengharukan daripada seorang sahabat sejati.

"Tapi saya berani cakap ni: Bila saintis di masa hadapan datang ke rumah saya membawa mata robot dan mereka suruh saya pakai, saya akan suruh mereka berambus, sebab saya tak mahu tengok dunia tanpa dia"

Bintang: 11/10 (kerana 10/10 tidak cukup untuk mewakili kecintaan saya kepada buku ini)

Sumber gambar: fixi.com.my

Tuesday 5 August 2014

Buku Bulan Ini: Ogos

Saya membeli beberapa buah buku daripada laman web mphonline.com pada hujung bulan Julai yang lalu. Buku-buku ini tiba di Sandakan kelmarin dan baru hari ini saya membuka isi kandungannya. Apa yang membuatkan saya lebih gembira ialah sepanjang tahun ini, mphonline memberikan penghantaran percuma untuk pembelian yang dihantar ke Sabah dan Sarawak, dengan syarat pembelian itu mestilah RM50 dan ke atas. Yeah! Kadar penghantaran bagi Sabah dan Sarawak yang biasa ialah sepatutnya seperti yang ditunjukkan di bawah.

Gambar (screen capture) diambil daripada mphonline
Gambar (screen capture) diambil daripada mphonline. Promosi tahun ini.
Dan sekarang saya tidak sabar untuk membaca buku-buku yang baru tiba ini. Memandangkan kebanyakannya ialah manga, saya pasti dapat menghabiskannya dengan cepat.

Buku-buku yang saya beli
Oh, dan saya turut mendapat hadiah percuma, notepad daripada mph!

Kulit hadapan

Kulit belakang
Bahagian dalam yang sangat comel!
Terima kasih mph untuk notepad yang sangat-sangat comel ini!

Di antara semua buku yang saya beli, ada satu yang saya tidak sabar untuk membacanya iaitu novel Tertulis Di Bintang-Bintang, atau tajuk asal bahasa Inggerisnya, The Fault in Our Stars oleh John Green. Saya sudah membaca novel asal bahasa Inggerisnya 2 kali, dan kedua-dua kali tersebut berjaya membuatkan saya menangis. Pertama kali saya membacanya, saya menangis selama 4 jam. Kali kedua pula saya menangis selama 2 jam lebih. Kali ini, saya akan membaca dalam versi bahasa Melayu pula. Entah kenapa saya ada firasat yang saya akan menangis lagi...

Tertulis Di Bintang-Bintang. Saya akui saya menyukai tajuk bahasa Melayu ini
Setakat ini sahaja entri saya untuk hari ini. Jumpa lagi dalam entri yang akan datang.

Monday 4 August 2014

Jejak Dosa


Penulis: Nur Mayani

Muka surat: 220

Sinopsis: Hadi sudah bosan dengan hubungan Papa dan Mama yang berantakan. Menyendiri lebih baik. 

Kehadiran dua insan serentak, Putih dan Azman, menambah rencah hidup yang hampir bertitik. Seorang sering muncul dan sering juga hilang secara tiba-tiba. Seorang lagi sibuk mencari ibu  yang entah di mana.

Kemalangan terjatuh dari tangga memberikan Hadi kemampuan menyuluh kisah silam penuh noda. Lalu saban hari dia menjejak dosa-dosa silam penuh cerita dengan sebelah tangan yang punya kuasa luar biasa. Dia mengenali semula siapakah sebenarnya Papa dan Mama. Kemunculan Azman dan Putih juga dicari punca.

Mampukah Hadi menerima segala rahsia yang diketahui? Adakah dia mempunyai kekuatan, menurut JEJAK DOSA, langkah demi langkah?

*sinopsis diambil daripada roman.com.my

Ulasan saya: Gaya bahasanya yang jelas, mudah difahami, dan baik adalah sebab mengapa saya menyukai buku ini di samping jalan cerita yang segar dan unik. Saya cukup menyukai karakter Hadi. Tak pernah lagi saya baca novel Melayu yang berpewatakan sama seperti Hadi ini. Memang satu kelainan. Syabas buat penulis yang memiliki daya imaginasi yang tinggi dan berjaya mencipta watak hero yang lain daripada yang lain.

Cerita di dalam buku ini tidak terlalu kompleks, namun cukup untuk membuatkan diri ini berfikir tentang ragam manusia yang bermacam. Mulanya saya sangat membenci watak Dato' Muiz. Tapi tak sangka pula kisah hidupnya seperti itu. Watak Datin Lyanna juga kelihatan baik pada mula-mulanya, nampak seperti dia mangsa keadaan, sehinggalah ke pertengahan cerita, jeng jeng jeng. Watak Putih dan Azman pula, memang misteri terutamanya Putih. Saya ada firasat yang Putih itu bukan manusia namun saya tak terfikir pula dia ialah masa silam seseorang. Azman pula, saya benar-benar tak sangka... Namun pengakhiran cerita ini buat saya keliru. Adakah semua yang dialami Hadi ini cuma satu petanda yang pada masa hadapan, semua itu akan benar-benar terjadi?

Apapun, saya gembira dipertemukan dengan buku ini.

Bintang: 7/10

Sumber gambar: roman.com.my

Paranormal


Penulis: Hani Suraya

Muka surat: 286

Sinopsis: Anda ada masalah misteri yang ingin diselesaikan? IDBW Investigations sedia membantu (kalau anda sedia membayar). 

Syarikat kecil ini mengambil upah menyiasat kes-kes PARANORMAL.

Mereka diketuai Norin, ahli sihir amatur yang agak flirty. Jimmy yang hidupnya terumbang-ambing mahir dengan ilmu shaman puak Navajo. Fairuz pakar sejarah paranormal yang juga merupakan ‘muscle’ kumpulan. Mahmud werewolf yang periang. Manakala Suzana boleh membaca fikiran orang. Mereka turut dibantu Nora, seorang yang obses dengan kimia.

Suatu hari, mereka didatangi Hakim yang ingin mereka menyiasat percubaan bunuh anaknya Maliki yang berumur 3 tahun. Namun apa yang mereka tidak tahu adalah mereka bakal terjebak dalam suatu konspirasi besar. Persahabatan mereka yang kuat juga bakal bergoncang!

*sinopsis diambil daripada fixi.com.my

Ulasan saya: Permulaan cerita ada banyak babak-babak menarik, dan saya turut teruja untuk tahu lebih banyak tentang kuasa istimewa ahli-ahli IDBW Investigations. Masuk pertengahan cerita konflik makin banyak,tapi saya agak kecewa kerana bahagian di mana mereka menggunakan kuasa istimewa masing-masing tak banyak sangat. Pengakhiran cerita,saya bertambah kecewa. Rasa seolah-olah penamat tidak disimpulkan dengan baik. Ada banyak imbas kembali di dalam buku ini, namun persoalan yang muncul daripada babak-babak imbas kembali tersebut tidak terungkai. Dan tentang cerita Ridwan dewasa, pengakhiran dia agak kurang memuaskan. Banyak persoalan timbul di minda saya selepas membaca pengakhiran cerita dia. 

Mahmud watak kegemaran saya! (Sesuatu yang tidak ada kaitan dan sebenarnya tidak perlu ditulis dalam ulasan ini, tapi saya tulis juga. :D)

Gaya penulisan buku ini memang menarik. Saya sukakannya. Begitu juga dengan jalan cerita di dalam buku ini, pantas dan tidak membosankan, membuatkan saya menghabiskan buku ini dalam sekali duduk. Cuma,  ada agak banyak babak cinta di dalam buku ini yang saya rasakan tidak penting dan tidak menyumbang kepada apa-apa.

Sekiranya penulis membuat sambungan untuk novel ini pada masa depan, saya harap dapat lihat lebih banyak lagi babak-babak di mana ahli-ahli IDBW Investigations menggunakan kuasa istimewa mereka

 Bintang: 5/10

Sumber gambar: fixi.com.my

Kubur Bernyawa



Penulis: Ebriza Aminuddin

Muka surat: 480

Sinopsis: Sekumpulan remaja dari Kolej Imanshah telah mengadakan perkhemahan di Hutan Simpan Kaffi ketika bermulanya cuti semester pertama di tahun yang terakhir itu. Asalnya mereka ingin menenangkan fikiran sebelum menempuhi semester yang terakhir.

Namun apa yang dihajati tidak menjadi kenyataan apabila mereka telah membangkitkan roh yang sudah lama tertanam di situ. Bermula dari situ, mereka terpaksa menempuhi episod baru apabila roh yang telah dibangkitkan itu sering mengganggu mereka.

Apakah yang roh itu inginkan daripada mereka? Kenapa roh itu tidak mahu melepaskan mereka?

*sinopsis diambil daripada bukuprima.com

Ulasan saya: Novel ini nyaris-nyaris jatuh ke senarai buku yang saya tidak suka jika bukan kerana cerita yang terjadi selepas muka surat 225.

Permulaan cerita ini membuatkan saya cukup keliru. Mengapa?

Puncanya, ada 10 orang watak yang muncul pada permulaan cerita. 5 orang jejaka bersama 5 orang buah hati mereka. Dengan nama yang pelik dan panjang, saya hampir tidak dapat membezakan siapa ialah pasangan untuk siapa. Sehingga saya habis membaca buku ini, saya cuma dapat mengingati 2 pasangan kekasih sahaja, iaitu Jhaznarul dan Husnarisyam serta Firdee Aqasha dan Era Kasmiran. Itu pun kerana Jhaznarul dan Firdee Aqasha ialah watak utama. Watak-watak dalam permulaan cerita terlalu banyak dan mengelirukan pembaca. Tambahan pula, karakter setiap watak digambarkan hampir sama kecuali Jhaznarul yang alim dan Firdee Aqasha yang suka mengambil risiko namun tidak mahu memikul tanggungjawab di atas kesilapannya. Selain itu, entah kenapa pada pandangan saya setiap jejaka digambarkan sebagai agak miang/romantik dengan kemiangan/keromantikan yang tidak menjadi. Contohnya mengucapkan "I love you" kepada pasangan mereka di hadapan rakan-rakan yang lain. Kalau ini ialah novel dari barat saya boleh percaya, tapi Malaysia? Karakter seperti ini wujud ke dekat Malaysia ni? Atau mungkinkah pengetahuan saya yang cetek dalam novel cinta Malaysia membuatkan saya tidak menyukai adegan seperti ini? Bagi saya, watak-watak lain pula semuanya mendatar dan bagaikan tidak memiliki pendirian masing-masing. Seolah-olah mereka diwujudkan agar Jhaznarul dan Firdee Aqasha mempunyai orang yang boleh digelar 'kawan yang boleh menolong kami ketika kami ditakutkan oleh roh nenek'.

Apa yang membuatkan saya geram lagi ialah kemunculan hantu nenek yang sangat tidak realistik bagi saya. Nenek tolong mengutip kepah? Seriously?

Banyak kali saya ingin meletakkan novel ini kembali ke rak buku tanpa menghabiskannya kerana jalan cerita yang terlalu perlahan. Namun saya ialah jenis pembaca yang akan menghabiskan buku yang dibacanya walaupun saya bersetuju dengan pendapat yang mengatakan hidup ini terlalu pendek untuk dihabiskan dengan membaca buku yang tidak anda gemari.

Lega hati saya sebaik sahaja buku ini memasuki Bab 41 dan ke atas. Di situlah baru cerita sebenar bermula. Secara umum, saya tidak berapa menyukai babak imbas kembali terutama jika ia terlalu panjang namun saya rasa ianya diceritakan dengan baik di dalam buku ini. Persoalan demi persoalan terlerai dan saya terasa seperti hendak mencekik watak-watak jahat yang terlibat dalam kematian insan lain. Habis sahaja babak imbas kembali, saya menjadi gusar semula. Pada saya, berakhirnya babak imbas kembali menandakan kedatangan semula watak-watak yang terlalu banyak. Rupanya sangkaan saya meleset, watak-watak rakan mereka yang banyak itu tidak muncul dengan banyak selepas berakhirnya 26 bab imbas kembali. Untuk itu, saya agak gembira.

Saya tidak menyukai cara cerita ini dileraikan, dengan nenek itu mengamuk dan menangkap ahli keluarga mereka yang terlibat.

Walaupun novel ini sarat dengan jalan cerita pelik namun banyak pengajaran untuk pembaca semua. Yang paling saya ingati ialah, ketamakan membawa padah.

Bintang: 5/10 

Sumber gambar: bukuprima.com.my

Sunday 3 August 2014

Membaca: Suka atau Terpaksa?

Kebelakangan ini, saya menyedari yang saya kurang gembira ketika membaca buku.

Bila saya fikirkan kembali punca kepada ketidakgembiraan tersebut, saya mendapati yang ia berpunca daripada pemikiran saya sendiri.

Dalam entri yang sebelum ini saya ada memberitahu yang tahun 2014 ini, matlamat saya ialah untuk membaca 40 buah buku dalam setahun. Setakat ini, saya telah pun membaca 27 buah buku. Saya perlu membaca 13 buah buku lagi untuk mencapai sasaran saya. Namun, seperti yang saya katakan sebentar tadi, saya langsung tidak gembira ketika membaca buku. Saya perasan keadaan ini sudah berlanjutan hampir dua bulan. Saya benar-benar tidak menikmati buku yang saya baca. 

Saya tahu mengapa ini berlaku.

Saya terlalu obses ingin menghabiskan pembacaan saya secepat mungkin agar saya boleh menandakan buku itu sebagai 'Read' di Goodreads. Saya memaksa diri untuk membaca buku walaupun hati saya tidak mahu membaca buku. Dalam kepala saya, kata-kata ini sentiasa berputar, "Kena habiskan baca buku." "Jangan baca artikel di internet, kena baca buku", dan banyak lagi. Situasi dan tekanan ini membuatkan membaca yang dahulunya merupakan salah satu hobi dan salah satu cara untuk saya merehatkan diri, bertukar menjadi bebanan dan tugas yang perlu dilakukan. Ini membuatkan saya tertekan dan menjadi pembaca yang tidak membaca untuk menikmati jalan cerita, namun membaca untuk menamatkan buku.

Setelah berfikir, saya mengambil keputusan untuk menamatkan Reading Challenge saya di Goodreads. Saya mengaku yang Reading Challenge ialah sesuatu yang sangat baik untuk memotivasikan kita untuk membaca lebih banyak buku. Namun saya rasa ia sudah tidak berapa sesuai untuk orang seperti saya. Saya ingin membaca dengan bebas seperti dahulu.

Memikirkan yang saya akan men'delete' Reading Challenge saya membuat saya rasa ingin menangis.


Ia perlu dilakukan. Saya mungkin rasa sedih sekarang. Namun dalam jangka masa panjang, ia baik untuk kesihatan mental saya.



Untuk memudahkan saya mengetahui berapa banyak buku yang saya baca tahun ini, saya meletakkan buku-buku yang saya baca dalam Shelf  malaysia-membaca-2014.

Tiba-tiba saya rasa gembira dan lega.

Jangan tanya, saya juga tak tahu kenapa saya masukkan gambar ini.

Sebelum saya menamatkan entri kali ini, saya ingin berkongsi salah satu daripada petikan kegemaran saya.

"No. I can survive well enough on my own— if given the proper reading material."- Sarah J. Maas, Throne of Glass

Sumber gambar: http://en.wikipedia.org/wiki/Lugia