Sunday 30 November 2014

Sekolah Banyak Penunggu 2.0



Tajuk: Sekolah Banyak Penunggu 2.0

Penulis: Nurul Syahida

Muka surat: 272

Sinopsis: Fadzilah sedang mencari jawapan kepada misteri yang telah berlaku kepada Pak Cik Baie ketika mengalami serangan jantung di Koperasi SMAX. Oleh kerana itu, dia sanggup bekerja di SMAX yang terkenal sebagai sekolah banyak penunggu sementara menunggu keputusan SPM. Dalam pencariannya, dia bertemu Muhaimin dan Dinie yang mempunyai banyak kisah seram yang ingin diceritakan. Apakah agaknya jawapan kepada pencarian Fadzilah itu? Semuanya akan terjawab dalam Sekolah Banyak Penunggu 2.0.

“Kenapa semua cikgu kat sini sensitif sangat pasal topik hantu?” ¤ Fadzilah

“Seram, kan? Kalau saya nampak, saya pun meracau agaknya.” ¤ Muhaimin

“Sebab ini cerita hantu yang ikhlas. Saya tak suka nak menambah-nambah cerita. Cukuplah pengalaman masa tingkatan satu dulu.” ¤ Dinie

* sinopsis diambil daripada bukuprima.com.my 

Ulasan Saya: Fadzilah, gadis berusia 18 tahun bekerja sambilan di koperasi SMKA Kota Senja yang lebih dikenali dengan nama panggilan SMAX. Dia mengambil alih secara sementara tugas menjaga koperasi kerana penjaga asalnya, Pak Cik Baie terlantar di hospital akibat serangan jantung. Fadzilah tahu ada cerita lain di sebalik cerita serangan jantung Pak Cik Baie semasa bertugas di koperasi sekolah itu. Oleh itu dia datang untuk mencungkil rahsia di sebalik sekolah berasrama penuh (SBP) yang turut mendapat jolokan nama Sekolah Banyak Penunggu.

Fadzilah menjalin persahabatan dengan Muhaimin, pelajar tingkatan 5 yang memberitahu bahawa dialah yang terjumpa Pak Cik  Baie pengsan di belakang satu rak yang agak tersembunyi di koperasi tersebut. Fadzilah juga bersahabat dengan Dinie, Naib Ketua Exco Keselamatan Aspuri. Fadzilah menanya mereka berdua sekiranya mereka tahu apa-apa cerita hantu yang membabitkan sekolah asrama penuh itu. Daripada cerita tentang Suratman, Tim dan Nad, Daus dan Abang Isman, hinggalah Harlina, Fadzilah mendengar semuanya dengan penuh minat. Namun, cerita tentang sesuatu yang dicarinya tidak kunjung tiba. Akhirnya, Dinie membuka satu lagi cerita. Cerita tentang seseorang yang dicari oleh Fadzilah selama ini. Cerita tentang seseorang yang boleh meleraikan kekusutan di kepalanya tentang misteri serangan jantung Pak Cik Baie.

Membaca cerita di dalam novel ini terutamanya di waktu malam membuatkan bulu roma saya meremang. Akhirnya, habis sahaja membaca bab keempat, saya membuat keputusan untuk menutup novel ini dan tidur. Sebaik sahaja saya menutup lampu, cerita bab keempat novel ini kembali bermain di minda saya. 

Tidak dinafikan ada rasa takut dalam hati saya tatkala membaca novel ini. Perasaan takut ini sudah cukup untuk membuktikan yang penulis berjaya menghidupkan setiap watak dan cerita di dalam novel ini. Kisah hantu di asrama bukannya sesuatu yang baru didengar. Malah, ia sesuatu yang normal dan biasa didengari terutamanya jika anda pernah menjadi penghuni asrama sekolah (saya bukannya pelajar asrama semasa di sekolah menengah). Setiap cerita hantu yang disampaikan oleh Muhaimin dan Dinie terasa menyeramkan dan realistik bagi saya (tambahan pula saya seorang penakut). 

Bagi saya, apa yang membuatkan novel ini sangat menarik dibaca ialah kandungan pelbagai cerita hantu di dalamnya. Itu belum lagi termasuk misteri di sebalik serangan jantung Pak Cik Baie. Gaya bahasa dan penulisan di dalam novel ini juga mudah difahami. Dialog-dialog di dalam buku ini juga teratur dan menarik dibaca. Tiada ayat berbelit-belit sehingga menyukarkan kita untuk memahami apa yang penulis ingin sampaikan. Watak-watak di dalam novel ini pula agak banyak, namun mudah diingati kerana penulis menghuraikan karakteristik setiap watak dengan baik sehingga kita boleh mengingatinya dengan mudah. Mungkin ada orang yang akan mengatakan yang jalan ceritanya tidak straight to the point dengan pelbagai cerita hantu yang tidak terlalu berkait dengan misteri di sebalik serangan jantung Pak Cik Baie. Tapi pada saya, cerita-cerita hantu tersebut sangat seronok dibaca, ditambah lagi dengan ilustrasi-ilustrasi yang agak menakutkan jika anda membaca buku ini bersendirian di bilik pada malam yang sunyi. 

Jika anda gemar membaca cerita genre seram dan misteri, saya rekomenkan novel ini kepada anda.

Bintang: 9/10

Thursday 27 November 2014

Buku Bulan Ini: November



Seperti biasa, setiap bulan saya akan membeli beberapa buah buku untuk dibaca (dalam masa yang sama, saya juga mengurangkan lagi duit poket saya).

 Saya membeli dua komik dan 8 buah novel daripada MPH. MPH sememangnya kedai buku kegemaran saya.
 
 
Satu-satunya novel Bahasa Inggeris yang saya beli bulan ini ialah Afterworlds oleh Scott Westerfeld.


Saya perasan yang kebelakangan ini saya kerap membeli novel bahasa Melayu. Mungkin kerana sudah agak lama saya tidak terus-terusan membaca buku Bahasa Melayu menyebabkan saya jatuh cinta kembali pada novel Melayu. Biasanya saya hanya akan membaca novel Inggeris genre Young Adult sahaja.

Pembacaan saya sekarang juga lebih bervariasi. Jika dahulu saya cuma membaca novel Melayu genre seram, misteri dan triler, sekarang saya baca novel Melayu bertemakan peperangan dan kehidupan. Mungkin saya tidak dapat katakan yang novel ini 100% ditulis dalam Melayu kerana novel yang saya sedang baca sekarang ini, 'Gadis kecil di Pinggir Gaza', penulisnya berasal dari Indonesia. Ia juga sama seperti novel yang saya baca sebelum ini yang bertajuk 'Bukan Kerana Allah Aku Jadi Pengganas'. Penulis novel tersebut turut berasal dari Indonesia. Saya sangat menggemari kedua-dua novel ini. Jalan cerita yang bertemakan kehidupan manusia diolah dengan penuh perasaan dan ketelitian. Saya sudah mengulas novel Bukan Kerana Allah Aku Jadi Pengganas. Ulasan itu boleh dibaca di sini. Kedua-dua novel ini dialih bahasa daripada Indonesia ke Bahasa Melayu. Ya, saya rekomenkan anda membaca kedua-dua novel ini.

Hohoho.

Seperti yang anda lihat, saya membeli komik siri Candy keluaran Gempak Starz. Saya sangat menyukai siri ini kerana ia bukan sahaja siri yang baik untuk mendidik kanak-kanak, ia juga memiliki watak-watak yang bermacam ragam dan dalam setiap buku, watak-watak tersebut akan bekerjasama menangani masalah kehidupan seharian mereka contohnya masalah persahabatan, ketagihan teknologi, fesyen, kesihatan dan banyak lagi. Ada 3 watak utama di dalam siri ini; Joni, Mia, dan Emilia. Joni seorang yang agak tomboy  dan ceria, Mia seorang yang pemalu dan baik hati, manakala Emilia pula seorang yang rasional dan agak tegas.

Selain daripada siri Candy, saya turut meminati siri Ten Ten. Komik 'Memupuk Kecekapan Kewangan' ialah komik siri Ten Ten kegemaran saya. Saya memiliki 2 komik tajuk ini. Bunyinya agak aneh tapi, jika saya suka membaca sesuatu buku itu, saya akan membeli 2 buku yang sama kerana saya tahu saya akan membacanya berkali-kali. Satu buku untuk diletakkan di atas rak utama manakala yang satu lagi akan diletakkan berhampiran katil saya agar mudah dicapai untuk dibaca bila-bila masa. Oleh itu, jika anda masuk ke dalam bilik saya, anda pasti akan menjumpai 2 atau 3 buah buku yang sama untuk beberapa judul buku.

Saya memiliki 2 salinan novel Throne of Glass, Crown of Midnight, Heir of Fire, The Fault in Our Stars, The Diary of A Young Girl, Miss Peregrine's Home for Peculiar Children (saya terbeli dua di mphonline.com), Daughter of Smoke and Bone (beli 2 kerana cover yang pertama tak match dengan cover buku kedua: Days of Blood and Starlight), dan The Screaming Staircase (beli 2 kerana cover yang pertama tak match dengan cover buku kedua: The Whispering Skull). Saya memiliki 3 salinan novel The Asssassin's Blade.

Untuk komik/manga pula, saya memiliki 2 salinan Memupuk Kecekapan Kewangan, Le Gardenie, Le Gardenie: Foolish Fruits, The Fishes, Next Station, Bleach: Volume 3, dan Bleach: Volume 5. Saya memiliki 3 salinan komik SNAP oleh Xanseviera kerana dia pelukis komik Malaysia kegemaran saya dan saya cukup menyukai grafik komik ini (Saya sayang kak Xan!).

Akhir kata, jika anda ada komik/manga/novel yang anda mahu rekomenkan pada saya, tinggalkan komen pada ruangan komen di bawah sini.

Terima kasih!

-Farhanah Atiqah

Monday 3 November 2014

Bukan Kerana Allah Aku Jadi Pengganas


Tajuk: Bukan Kerana Allah Aku Jadi Pengganas

Tajuk Asal: Demi Allah Aku Jadi Teroris

Penulis: Damien Dematra 

Muka surat: 374

Sinopsis: Benarkah kerana Allah, Kemala, seorang gadis penari, 'meluahkan kebenaran' dengan memikul senjata....mengubahnya daripada lembut kepada kejam, daripada cinta kepada benci....? Novel ini menyedarkan kita bahawa kesucian agama sebenarnya dicemarkan oleh segelintir pengganutnya sendiri yang menghalalkan keganasan atas nama Tuhan...
*sinopsis diambil daripada pelangibooks.com

Ulasan Saya: Buku ini benar-benar membuka minda saya. Ia membuatkan saya berfikir bagaimana manusia menyalahkan agama atas segala kehancuran yang terjadi di muka bumi ini sedangkan manusia itu sendiri yang tidak memahami apa yang terkandung dalam agamanya. Agama tidak pernah salah tetapi manusia itu yang salah mentafsir agamanya. Sama seperti golongan-golongan ekstremis yang ada dalam buku ini, mereka melihat dunia dalam hitam dan putih. Sama ada 'mereka' atau 'bukan mereka'. Mereka menghalalkan darah orang yang 'bukan mereka' dan menggunakan orang-orang yang mereka perdayakan untuk membuat pekerjaan-pekerjaan kotor mereka.

Apa yang saya cukup sukai tentang buku ini ialah bagaimana dua orang watak dengan masa silam yang perit, dipengaruhi oleh kenangan masa silam sepanjang mereka membesar. Orang kata jika kita dibesarkan dalam suasana yang teruk sekali pun, kita boleh membuat pilihan untuk menjadi baik atau jahat. Ya, Prakasa membesar sebagai seorang yang dingin, dengan keazaman untuk membanteras keganasan yang tinggi. Hati Prakasa tidak punya rasa cinta. Namun kemunculan Kemala sebagai seorang suspek yang ingin meletupkan Bistro Americana itu menggoyahkan perasaannya. Gadis itu memiliki 1001 misteri. Apa yang membuatkan Kemala jadi seperti itu? Prakasa ingin tahu.

Kemala dilahirkan dalam keluarga yang tidak sempurna, sejak kecil lagi dia sudah kehilangan kasih sayang seorang ibu. Dia juga tidak pernah merasa kasih sayang seorang bapa. Tapi dia tahu, mereka berdua menyayanginya. Ditatang bagai minyak yang penuh oleh kawan rapat ibunya, Kemala rasa bahagia. Itu sudah mencukupi baginya. Tapi dia tidak tahu. Takdir Tuhan tidak bisa dilawan. Makcik kesayangannya pergi menemui ilahi, meninggalkan Kemala sebatang kara. Kemala meneruskan pengajiannya seperti biasa, namun kali ini, hatinya kosong. Dalam usaha mengisi kekosongan tersebut, Kemala tersilap langkah. Dia terpedaya sehingga kehidupannya porak-peranda. Dia diperguna oleh ahli-ahli kumpulan ekstremis tersebut, hinggalah suatu hari dia bertemu Prakasa. Walau di hati terdetik cinta buat lelaki yang dingin itu, tetapi Kemala tidak mahu melalui kehidupan yang memeritkan di dunia ini lagi. Kemala mahu masuk syurga! Ini ialah jihad baginya. Apa yang ingin dilakukannya ini ialah jihad melawan orang kafir! Syurga sedang menantinya!

Penamat buku ini langsung tidak mengecewakan. Bagi saya, Prakasa dan Kemala memang selayaknya mendapat kehidupan yang mereka mahukan dan berbahagia bersama selama-lamanya.

Bintang: 10/10 

Sumber gambar: pelangibooks.com