Tuesday 28 February 2017

Idea Penulisan (1)



Ada rakan yang bertanya, dari mana saya dapat idea untuk menulis.

Mudah sahaja jawapannya.

Gambar, muzik, anime, manga, lukisan, dan lain-lain. 

Contohnya, bila saya lihat gambar di bawah ini, automatik otak saya memikirkan satu senario untuknya.

Gambar asal: Lunafreya dari Final Fantasy 15
Contoh cerita: 

Gadis bergaun putih itu memandangku dengan raut wajah yang sedih. Manik-manik jernih  mengalir ke pipinya yang mulus.

"Tolong..." Dia mengucapkan. Suaranya samar-samar terdengar. Dia kemudian menghulurkan tangan ke arahku. Sekuntum bunga berwarna biru terlepas dari jari-jemarinya.

Aku membuka mata. 

Mimpi? Siapa gadis itu?

Aku segera bangkit dari katil. Fail-fail mangsa kes pembunuhan bersiri aku periksa satu-persatu. 'Gadis bergaun putih. Rambut perang,' gumamku perlahan. 

Akhirnya aku jumpa apa yang aku cari. Gambar seorang gadis berambut perang dengan gaun warna putih kini memenuhi ruangan mataku. 

Alice Campbell, 18 tahun. Mangsa ketiga belas. Ditemui mati di ladang buah epal milik keluarganya. Punca kematian: Ditikam 12 kali di perut. Mangsa dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum dipindahkan ke ladang tersebut.

Tiba-tiba aku teringat sesuatu. Di dalam mimpi, Alice menghulurkan sekuntum bunga warna biru kepadaku. Adakah itu klu kepada kes pembunuhannya? Tapi di mana aku boleh mendapatkan bunga berwarna biru?

Aku menelan liur. Surat khabar Daily Rafflesia yang kubaca minggu lepas menerjah ke ingatan.

Bunga berwarna biru...ya, aku tahu di mana aku boleh mendapatkannya. 

Dengan pantas, aku mencapai kot panjang yang tergantung di belakang pintu. Selepas menyarung kot di tubuh, aku mengambil pistol di atas meja.

Bunga berwarna biru. Hanya ada satu tempat sahaja di Kota Rafflesia yang menghasilkan bunga berwarna biru seperti dalam mimpiku.

Pusat penyelidikan flora Aeternum!

*****

Daripada gambar, saya merangka situasi, latar belakang, watak dan perwatakan untuk cerita saya. Situasi di dalam cerita yang saya rangka tersebut tidak semestinya diletakkan di bahagian awal cerita. Ia boleh diletak di mana-mana sahaja; pengakhiran, klimaks, dan lain-lain lagi.

Okeylah, setakat ini sahaja entri saya untuk kali ini. Jumpa lagi dalam entri yang akan datang.

Monday 20 February 2017

Catatan Ahli Varia: Belphegor (1)

Apa khabar rakyat biasa? Aku Belphegor. Tapi kamu juga boleh memanggil aku ‘Putera’, kerana aku memang seorang putera pun. Ushishishishishi~

Memandangkan aku ada banyak masa lapang hari ini, biar aku ceritakan pada kamu kehidupan ahli-ahli Varia.

Pukul 6 pagi, aku bangun dari tidur dan menuju ke bilik mandi. Selepas mandi dan memakai pakaian, aku turun ke tingkat bawah untuk bersarapan.

Senpai, aku sungguh berharap engkau mati dan tidak datang sarapan,” ujar satu suara yang kubenci.

Aku mencebik. ‘Katak’ yang berambut hijau muda itu memang tidak tahu bagaimana mahu menjaga mulutnya.

Tanganku mengeluarkan 8 bilah pisau daripada kot. Lalu, aku layangkan kesemua pisau-pisau tersebut ke arah si mulut celupar. Dia mengelaknya.

Mou! Bel-chan, Flan-chan! Jangan bergaduh di meja makan! Nanti ayah marah!” ujar Lussuria. Hari ini rambut mohawknya berwarna merah jambu. Bajunya pula berwarna pelangi. Memang sesuai dengan perangainya yang pondan itu.

“Ayah? Voi!! Kau tak maksudkan Xanxus, bukan?!!” Si komander berambut panjang memekik. Harus aku ingatkan yang pekikannya hari ini lebih kuat daripada biasa.

“Sudah tentulah Xanxus. Siapa lagi yang macam ayah di istana ni?” Selamba Lussuria menjawab.

Aku menarik kerusi lalu duduk. Di atas meja panjang di hadapanku terhidang bermacam-macam jenis makanan. Namun kami semua tidak boleh makan selagi Bos belum sampai.

Aku menoleh ke sebelah. Mammon sedang duduk di atas kerusi bayi sambil mengira duitnya. 

“Duit kau tidak akan bertambah walaupun kau mengiranya setiap hari,” ujarku. Gaji Mammon dipotong dua bulan untuk membayar kos kerosakan yang dilakukannya di taman tema kanak-kanak.

Mammon memandangku. Aku tidak dapat melihat matanya dengan jelas di sebalik topinya yang besar. Heh! Macamlah dia juga dapat melihat mata aku di sebalik rambutku. Ushishishishi.

“Bel, kau hutang aku 2500 euro. Aku harap kau bayar cepat. Bunganya 25%. Lewat sehari daripada tarikh pembayaran akan dikenakan denda 100 euro. Dan begitulah untuk hari-hari yang seterusnya.” 

Aku mencebik. Bayi ini sungguh mata duitan! Mungkin aku harus mengikatnya di atas tiang bendera kami. Dia pasti akan kelihatan seperti maskot skuad pembunuhan Varia. Ushishishishishi~

Suasana di ruang makan riuh dengan suara Lussuria dan Squalo. Topik perdebatan mereka masih sama, tentang Bos. Tentang adakah Bos layak digelar sebagai ayah di istana Varia? Aku sudah naik bosan mendengar perdebatan mereka. Mataku kuhalakan silih berganti pada ayam Turki bakar dan stik filet mignon di atas meja. Aku mula berkira-kira. Sebaik sahaja Bos datang dan menjadi orang pertama yang mengambil stik itu nanti, aku akan pastikan aku menjadi orang kedua yang mengambil stik yang tersusun cantik di pinggan perak itu. Ushishishishi. Rancangan aku sungguh sempurna. Mungkin aku patut menggunakan pisau-pisau berhargaku untuk mengambil kesemua stik itu nanti.

Senpai, aku tahu rancanganmu. Kau pasti mahu membolot kesemua filet mignon itu, kan?” soal si Katak yang duduk berhadapan denganku. 

Ah sial! Bagaimana dia tahu?

“Ushishishishishi~Sudah tentu. Aku kan putera. Selepas Bos, aku yang kedua paling tinggi di istana ni,” ujarku sambil tersengih.

“Voii!! Aku komander Varia. Jadi secara teorinya aku yang kedua selepas Bos! Aku akan jadi orang kedua yang ambil filet mignon itu!!” jerit Squalo. Matanya merenungku tajam.

“Ushishishishishi…kau cuma komander. Aku seorang putera. Kau cuma rakyat biasa dalam negara ini.” Aku tidak akan mengalah.

“Voi!! Kau cuma seorang putera tanpa negara, Bel!”

“Putera tetap seorang putera walaupun di mana dia berada. Rakyat biasa tetap rakyat biasa walau di mana pun mereka berada. Dan hamba makan gaji seperti kau tetap hamba di mana pun kau berada.” Aku mula memberi hujah. Muka Squalo bertukar merah, mungkin kerana menahan marah. Aku lihat ada beberapa helai rambut panjangnya terpacak ke atas. 

“Kau patut bunuh diri dan minta dilahirkan semula sebagai raja atau putera barulah kau boleh mendapat status yang sama seperti aku.” Aku memprovok Squalo.

“Bel!” Lussuria memanggil, mungkin tidak mahu aku terus memprovok komander yang mukanya kini merah bagaikan tomato.

“Kau memang cari mati, Bel!!” jerit Squalo sambil melibas-libaskan pedangnya ke arahku.
Aku bangun dari kerusi lalu mengeluarkan pisau-pisauku. 

“Kau nak kematian yang lambat atau cepat, komander?” 

“Kau memang berani nak lawan aku dengan pisau-pisau kecil kau tu!” Si komander menyeringai. “Marilah, putera sialan!”

Belum sempat aku melayangkan pisau-pisauku yang tajam dan cantik ke arah Squalo, sebuah pasu bunga kristal melayang ke kepalanya. Squalo rebah serta-merta. Mata kami semua menghala ke arah datangnya pasu bunga kristal tadi.

Di depan pintu, bos sedang berdiri dengan renungan mata merah yang tajam memandang tepat ke arah kami. Sepeti biasa, Levi berdiri di belakang Bos.

“Pagi-pagi lagi dah menyalak, sampah!” marah Bos.

Bos menapak langkah ke arah meja dan duduk di kerusinya. Lagaknya bagai seorang CEO syarikat. Levi, si anjing setia, mengambil tempat duduk berhampiran Bos.

“Ushishishishishi~ Maaflah Bos,” pintaku. Aku kembali duduk di kerusiku. Lussuria mendekati Squalo yang sedang terbaring.

“Tidak!!!” Lelaki pondan itu menjerit sebaik tersedar sesuatu. “Pasu bunga ni diperbuat sepenuhnya daripada kristal Swarovski dan berharga 150,000 euro!” Dia kemudian berpaling dan memandang Bos. “Bos kena berhenti melempar barang-barang yang mahal!”

“Hmph!” Bos langsung tidak mempedulikan Lussuria.  Tangannya mengambil pinggan perak yang berisi filet mignon.

“V…Voi…kau lebih risaukan pasu bunga tu berbanding kepala aku?” Squalo perlahan-lahan bangun. Rambut putihnya bertukar merah kerana darah yang mengalir. Ada serpihan-serpihan kristal di atas kepalanya. 

“Kepala kau tidak semahal pasu bunga ini, komander,” jawab si Katak Flan.

Aku bersiul. Untuk kali ini, aku bersetuju dengannya.

“Sudah-sudah. Jangan bergaduh di meja makan. Squalo, nanti aku balutkan kepala kau tu. Sekarang, mari makan.” Lussuria memberi kata putus.

Mungkin kerana kehilangan terlalu banyak darah, si komander tiada tenaga yang cukup untuk membantah Lussuria. Dia menarik kerusinya lalu duduk. 

Selepas memindahkan 3/4 daripada filet mignon yang berada di pinggan perak tadi ke pinggannya, Bos meletakkan pinggan itu di atas meja kembali. 

Aku, Mammon, Flan, Levi, dan Squalo memandang satu sama lain. Sebentar lagi pertarungan mendapatkan filet mignon yang selebihnya akan bermula.

Wednesday 8 February 2017

Iris Di Kala Hujan

Tajuk: Iris Di Kala Hujan

Tajuk asal: Ame No Hi No Iris

Penulis: Takeshi Matsuyama

Muka surat: 272

Sinopsis: 

Kat sini ada kerangka robot. Namanya Iris. Nama rasmi yang didaftar ialah Iris Rain Umbrella. Dia robot pembantu rumah yang dicipta Profesor Umbrella, seorang penyelidik robot.

Asalnya Iris disayangi macam ahli keluarga tuannya dan dia tak pernah ada sebarang masalah dalam hidup. Tapi kenapa segalanya boleh berakhir macam ni? Buku ni akan menceritakan segala-galanya - perkara yang dilihat, didengar, dirasai dan juga permintaan Iris - semuanya diperolah dari ingatan dan data dalam litar mental.

Karya yang 4 kali terpilih dalam Anugerah Novel Dengeki ke-17. Kami persembahkan kepada anda sebuah karya tentang robot menyentuh perasaan.

*Gambar dan sinopsis diambil daripada gempakstarz.com

Ulasan saya:

Iris Rain Umbrella - Robot gadis yang dicipta menyerupai adik profesor Wendy Von Umbrella. Comel dan lincah, Iris disayangi bagaikan ahli keluarga oleh profesor muda itu.

Lilith Sunlight - Robot gadis yang bekerja di tapak pelupusan sampah. Cekal dan keras hati, Lilith ialah sumber kekuatan bagi Volkov.

Volkov Galosh - Bekas robot tentera yang berbadan besar. Walaupun nampak menggerunkan, Volkov memiliki sifat yang prihatin dan ingin melindungi rakan-rakannya.

-----

"Iris, saya sayangkan awak" - Wendy Von Umbrella

Saya jatuh cinta dengan karya ini.

Permulaan cerita walaupun agak perlahan, tetapi cukup untuk membuat saya teruja dan jatuh cinta kepada Iris.

Iris kesayangan profesor Wendy berkhidmat sebagai pembantu rumah di kediaman rumah agam Umbrella. Tugasnya termasuklah memasak, membersihkan rumah, membeli barang di pasar, dan lain-lain lagi. Kehidupannya bersama profesor Umbrella sempurna. Kasih sayang yang diberikan profesor Umbrella kepadanya dibalas kembali dengan rasa cinta dan kasih yang mendalam kepada wanita itu. Pada masa-masa terluang profesor Umbrella, mereka akan menghabiskan masa bersama seperti menonton wayang dan mendapat kuliah daripada profesor.

Hinggalah suatu tragedi buruk menimpa.

Hidup Iris berubah.

Daripada seorang gadis yang sempurna, Iris kini menjadi robot yang hodoh dan terpaksa bekerja di tempat pelupusan.

Di situ, Iris berkenalan dengan Lilith dan Volkov. Mereka kemudian membentuk Kelab Buku Malam. Iris akan membaca buku sementara Lilith dan Volkov menjadi pendengarnya.

"Kami semua menjalankan tugas dengan senyap. Lilith dan Volkov membongkok dan mengutip sisa-sisa tubuh rakan sekerja kami yang berbau minyak tanpa berkata apa-apa." - Iris


Selepas menyaksikan di depan mata sendiri pengakhiran beberapa buah robot di tempat pelupusan, Iris, Lilith dan Volkov merancang untuk melarikan diri dari situ.

"Gembiranya dapat jumpa awak" - Volkov

"Sebab tu tak apa. Awak boleh terus hidup walaupun seorang diri. Kena ada sikit keyakinan diri. Sebab awak - robot yang disayangi hingga akhir..." - Lilith

"Tapi profesor, saya pun suka hari hujan juga. Sebab kali pertama jumpa profesor masa hari hujan juga" - Iris, surat kepada profesor

-----

Walaupun novel ini ialah terjemahan daripada bahasa Jepun, saya dapat merasai unsur-unsur perasaan di dalam novel dengan jelas. Tahniah saya ucapkan kepada sesiapa yang bertanggungjawab menterjemah Ame no Hi No Iris ke bahasa Melayu.

Jalan cerita novel ini ini sangat menarik. Langsung tiada pembaziran babak di mana-mana naratif. Semuanya saling berkait langsung atau secara tidak langsung. Tema yang diutarakan membuat kita terfikir akan erti kewujudan kita. Dan, adakah hanya 'manusia' sahaja yang layak menggunakan perkataan 'wujud' dan 'bebas'? Bagaimana pula dengan robot? Adakah mereka sekadar alatan yang dicipta sahaja? Tidak layakkah mereka mendapat layanan seperti manusia?

Pada saya, kekuatan cerita ini banyak bergantung pada perasaan Iris kepada profesor Umbrella dan persahabatan Iris-Lilith-Volkov. Kerana rasa kasihnya pada profesor, Iris terus berusaha hingga ke saat akhir. Dan kerana persahabatan yang dihulur Lilith dan Volkov kepadanya, Iris menemui cahaya baru dalam hidupnya. Kewujudan Lilith dan Volkov berjaya menarik Iris keluar daripada kesedihan dan kegelapan.

11/10 bintang saya berikan untuk novel ini. :D