Sunday, 23 July 2017

Takdir Yang Mengikat: Bab 1



November 2013
Ufa, Republik Bashkortostan, Rusia

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
             
Aslan,
             
Ketika awak membaca surat ini, saya pastinya sudah berada di Syria. Mungkin juga saya sudah sampai di Aleppo.
             
Saya kirimkan surat ini melalui Akhshiyat kerana saya tak mahu meninggalkan apa-apa jejak elektronik yang boleh mendatangkan masalah kepada awak semua dan keluarga saya di Chechnya.
             
Sahabatku Aslan,
             
Masih ingatkah awak pada hari itu? Hari kita berempat pergi ke masjid dan ditayangkan dengan video-video kesengsaraan dan kepayahan hidup saudara seagama kita di Syria?
             
Apa yang terkandung dalam video-video itu masih terpahat di ingatan saya sehingga kini.
             
Pada malam itu, saya tidak dapat tidur. Dentuman dan letupan bom barel daripada video yang dirakam mengingatkan saya pada perang yang berlaku di Chechnya ketika saya masih kecil. Perang Chechen pertama.
             
Waktu itu saya bersama ibu dan adik-beradik yang lain duduk ketakutan di dalam bilik di rumah kami. Dalam hati saya berdoa agar tentera Rusia tidak memasuki perkampungan kami dan membunuh kami semua. Saya juga berdoa agar ayah saya selamat. Agar ayah saya kembali ke rumah dengan senyuman puas selepas menembak mati kesemua penjajah berbangsa Rusia yang ingin menghancur dan merampas tanah milik bangsa Chechen.
             
Allah memperkenankan salah satu daripada dua doa saya. Jauh di atas bukit, pertempuran sedang berlaku di antara pahlawan Chechen yang berani dengan penjajah Rusia yang zalim. Syukur kepada Allah, pertempuran tersebut tidak merebak hingga ke perkampungan kami di bawah bukit. Saya, ibu, dan adik-beradik yang lain semuanya selamat.
             
Namun, beberapa hari selepas itu keluarga saya menerima sebuah keranda. Di dalam keranda tersebut, ayah saya terbaring tidak bernyawa. Tubuhnya sudah tidak sesempurna dahulu, seperti ketika dia mengajar saya bermain bola sepak bersama abang-abang saya.
            
Saya menangis. Saya meraung.
             
Hingga hari ini, ada kelukaan dalam hati saya. Cukuplah umat Islam ditindas dan dibunuh oleh pemerintahnya sendiri. Cukuplah hanya kami sahaja yang merasai keperitan hidup akibat peperangan. Jangan ada lagi anak-anak yang terpaksa melihat pemergian saudara yang mereka kasihi. Cukuplah hanya saya sahaja yang melihat jenazah ayah saya kembali ke rumah dalam keadaan yang menghibakan. Saya tidak mahu anak-anak yang lain mengalami dan menempuhi situasi yang sama seperti saya.
             
Aslan,
             
Saya tidak akan memaksa awak untuk mengikuti langkah saya untuk berjihad menolong saudara di Syria. Kerana walaupun kita sama-sama berdarah Chechen, kita berdua dibesarkan dalam keadaan hidup yang berbeza dan melalui pengalaman yang berbeza.
             
Saya cuma mahu awak memahami saya. Memahami mengapa saya memilih jalan yang saya ambil sekarang.
             
Akhir sekali, sekiranya Allah mengizinkan, suatu hari nanti pasti kita akan bertemu kembali. Ketahuilah pada waktu itu, saya pastinya orang yang paling gembira di antara kita berdua.
             
Terima kasih untuk segala-galanya, Aslan.
             
Sahabatmu,
                                                                                     
Zelimkhan Hamzatovich Dalaev                                                       
29 September 2013

             
Aslan melipat surat daripada Zelimkhan. Lelaki 23 tahun itu bangun dari pembaringan lalu duduk bersila di atas katil. Rambut coklat tua yang sedikit kusut, dikemaskan. Dia menongkat dagu. Surat Zelimkhan dikirimkan kepadanya melalui sahabat baik mereka yang tinggal di Republik Chechen, Akhshiyat. Sudah berpuluh kali Aslan membaca surat tersebut. Zelimkhan yang dikenalinya semasa lelaki itu melawat Akhshiyat di Ufa, sudah berada di Syria ketika ini, berjuang bersama kumpulan jihad di Aleppo.
             
Kali pertama membaca surat tersebut, Aslan cuba memahami rasa hati Zelimkhan daripada pelbagai perspektif. Dia akui, tindakan yang diambil Zelimkhan sangat drastik. Pemergiannya ke Syria berlaku seminggu selepas Aslan, Ruslan, Akhshiyat, dan Zelimkhan didedahkan dengan isu yang melanda negara yang sedang bergolak itu.
             
Bunyi peluru yang dimuntahkan senapang dan letupan bom yang bisa memecah gegendang telinga memanaskan dada. Takbir “Allahu Akbar” yang dilaung kuat tentera mujahidin ketika peluru-peluru mereka mengenai askar-askar Assad, cukup membakar semangat Aslan.
             
Dalam masa yang sama, hati lelakinya tersentuh tatkala mendengar tangisan kanak-kanak di hospital melalui video yang dirakam. Ratapan hiba para ibu tatkala menyedari mereka sudah kehilangan ahli keluarga yang dikasihi meruntun jiwanya. Buat pertama kali dalam hidup, Aslan Adamovich Sakaev merasai pelbagai jenis emosi serentak; sakit hati, marah, geram, dan simpati.
            
Sebulan selepas menerima surat Zelimkhan, Akhshiyat menelefonnya dan memberitahu yang dia juga mahu pergi berjihad di Syria.
            
Aslan jadi bingung. Hatinya kacau mendengar rancangan Akhshiyat. Bagaimana sahabatnya itu bisa terfikir untuk menjadi pejuang di sana? Tidak takutkah dia dilabelkan sebagai pengganas?
             
Lantas, untuk lebih memahami niat sahabat baiknya, Aslan mencari, mengkaji, dan menonton banyak video mengenai Syria di internet. Dia juga membaca artikel-artikel dan isu-isu yang berkaitan dengan Syria; bagaimana perang saudara itu tercetus, apa puncanya, siapa yang bertanggungjawab ke atasnya dan bagaimana kehidupan rakyat Syria sekarang.
             
Pencarian itu dirahsiakan daripada adik kembarnya. Ruslan tidak banyak bicara sewaktu selesai membaca surat Zelimkhan. Namun, Aslan cukup yakin yang Ruslan langsung tidak berkenan dengan pemergian Zelimkhan ke Syria. Adiknya tidak pernah berbual mengenai isu Syria dengannya selepas Zelimkhan meninggalkan mereka. Setiap kali Aslan cuba meminta pendapat Ruslan mengenai jihad di Syria, Ruslan akan mengubah topik. Ruslan bukannya seorang yang pro-jihad.
             
Dua minggu.
             
Itu tempoh masa yang diambil Aslan untuk memahami keadaan di Syria melalui artikel-artikel dan video-video yang ditontonnya di internet. Selepas itu, Aslan menelefon Akhshiyat untuk memintanya menangguhkan dahulu rancangan ke Syria kerana dia juga sedang mempertimbangkan rancangan yang sama. Akhshiyat bersetuju.
            
Masih lagi ragu-ragu akan keputusannya, Aslan melakukan solat istikharah bagi meminta petunjuk daripada Tuhan Yang Maha Esa. Itulah istikharah pertama yang dia lakukan seumur hidupnya. Malah, dia juga sudah mula mengambil berat akan solatnya dengan tidak melengah-lengahkan waktu solat.
             
Suatu malam selepas melakukan solat istikharah, Aslan bermimpi. Dalam mimpi, dia menyaksikan bom-bom dijatuhkan dari langit. Dia melihat seorang nenek tua menangis sambil memeluk mayat cucunya. Dan, dia juga melihat tangannya memegang selaras senapang. Aslan mengambil mimpi tersebut sebagai petunjuk yang menyuruhnya menetapkan keputusan untuk menolong orang-orang Sunni yang ditindas di Syria.
            
Beberapa hari selepas mendapat mimpi tersebut, Aslan menelefon Akhshiyat dan menyatakan hasrat untuk turut berjihad di Syria. Akhshiyat memberikannya pautan ke akaun media sosial milik beberapa orang mujahidin Chechnya yang dikenalinya di VKontakte. Memandangkan Akhshiyat tinggal di Republik Chechen, dia mempunyai rangkaian persahabatan yang luas dengan orang-orang Chechen di sana sehingga membolehkannya berhubung dengan mujahidin Chechen yang kini berada di Syria.
             
Aslan berbalas-balas mesej dengan mereka dan selepas seminggu, Aslan membulatkan tekadnya untuk mengikuti jejak langkah Zelimkhan ke Syria. Dia mahu berbakti kepada muslimin dan muslimat Sunni di sana. Berbakti kepada saudara-saudara yang mempunyai pegangan agama yang sama dengannya.
             
Jika diizinkan Allah, dia mahu mati sebagai seorang syahid.
             
Aslan menghela nafas. Anak mata kelabu miliknya kini dialih pada sijil ijazah perubatan yang dibingkai dan digantung pada dinding. Enam tahun yang lalu, dia mengambil kursus perubatan dengan harapan dapat membantu orang lain. Walau bagaimanapun, keadaan sudah berubah. Menggunakan kemahiran dalam bidang perubatan bukan satu-satunya cara seseorang itu dapat memberi pertolongan. Aslan yakin dia akan dapat menyumbang lebih banyak jika dia mengangkat senjata dan membantu orang-orang yang ditindas di sana.
             
Aslan membaringkan tubuh di atas katil kembali. Esok, dia dan Akhshiyat akan bertolak ke Turki dari Ufa International Airport. Wakil jamaat yang bakal mereka sertai akan menunggu ketibaan mereka di Turki. Mereka akan dibawa melintasi sempadan Turki-Syria. Oleh kerana mereka digalakkan untuk tidak membawa banyak bagasi, Aslan cuma membawa sebuah beg pakaian beroda dan beg galas. Beg galasnya dipenuhi dengan peralatan elektronik seperti komputer riba, power bank, adapter, pengecas telefon serta beberapa peralatan lain. Dia turut membawa bekalan ubat seperti ubat selesema, ubat batuk, dan multivitamin.
             
Aslan mengambil telefon pintar yang berbaring di sebelah.
             
Tiada mesej yang masuk.
             
Akhshiyat memberitahu dia akan tiba sekitar pukul 3 petang di Ufa. Sekarang sudah pukul 3.40 petang dan Akhshiyat masih belum menghubunginya. ‘Kereta api rosak ke?’ Aslan menyoal dalam hati.
             
Telefon pintar ditutup kembali. Aslan bercadang untuk tidur seketika. Lagipun, Akhshiyat pasti akan menelefonnya jika terjadi apa-apa dalam perjalanan.
             
Dia tidak perlu risau.

No comments:

Post a Comment