Sunday, 23 July 2017

Takdir Yang Mengikat: Bab 3



Disember 2013
Kem latihan Dzhamaat Halifat
Latakia, Syria 

            
 “Aslan, dah masuk subuh. Bangunlah.” Akhshiyat memanggil sambil menggoyang-goyangkan tubuh sahabat baiknya. Aslan terpisak-pisak. Suara Akhshiyat memecahkan lena yang ditaburi mimpi. Dalam keadaan mamai, dia bangun sambil menggosok-gosok mata.
              
“Ada apa?” soal Aslan, agak kasar. Marah dia dibangunkan sedangkan matanya masih mahu tidur.
             
“Solat subuhlah…” Akhshiyat mengingatkan. “Cepatlah!” arahnya pada Aslan yang sedang memandangnya dengan mata yang kuyu.
             
Aslan meliarkan mata, memandang keliling bilik. Cat warna putih pada dinding bilik ada yang sudah terhakis sehingga menampakkan simen yang berwarna kelabu gelap. Lantai ditutupi dengan permaidani lebar warna biru yang sudah usang. Di atas permaidani pula, tersusun 7 buah tilam dalam satu baris.
             
Aslan menundukkan kepala. Tilam yang menjadi alas punggung, diperhatikan. Cadar tilam itu berwarna kelabu, berlainan dengan cadar yang biasa digunakan. Aslan mengeluh perlahan.
             
Dia kini di Syria, bukan lagi Ufa.
             
Aslan mengangkat wajah, tersengih memandang Akhshiyat yang kini bermuka masam. “Maaflah sebab lewat bangun…” ujar Aslan.
             
“Cepat bersiap. Kita nak solat subuh bersama ni!” Akhshiyat memberitahu. Aslan berteleku seketika. Mindanya berputar mengimbas hari-hari sebelumnya.
             
Hari Ahad, mereka berdua bertolak ke Istanbul, Turki, dari Ufa International Airport. Tiba di lapangan terbang Istanbul Ataturk Airport, Turki, wakil jamaat yang menggunakan nama Abu Alim sudah sedia menunggu ketibaan mereka. Abu Alim membawa mereka ke rumahnya. Aslan dan Akhshiyat sempat berkenal-kenalan dengan 4 orang pemuda lain di rumah Abu Alim. Mereka juga bakal menyertai Dzhamaat Halifat di Syria.
             
Keesokan hari selepas Subuh berakhir, kesemua mereka dibawa menaiki van ke bandar Gaziantep yang terletak tidak jauh dari Syria.
             
Perjalanan dari Istanbul ke Gaziantep mengambil masa kira-kira 11 jam. Selain Abu Alim, mereka turut ditemani oleh Fatih, pemandu van yang juga merupakan penduduk Turki. Fatih bertanggungjawab menyeludup mereka masuk ke Syria.
             
Van yang dipandu Fatih berhenti dua kali di masjid yang berlainan sepanjang perjalanan mereka. Selepas membersihkan diri, makan, dan mengerjakan solat, perjalanan diteruskan kembali.
             
Mereka tiba di bandar Gaziantep pada pukul 7.30 malam. Selepas makan malam dan berehat, mereka meneruskan perjalanan ke sempadan Turki-Syria yang terletak kira-kira 90 kilometer dari bandar tersebut.
             
Abu Alim dan Fatih mengejutkan mereka semua dari tidur sebaik tiba di sempadan. Lelaki Turki itu memarkir van tidak jauh dari pagar yang memisahkan Turki dan Syria. Kemudian dia turun, lalu berlari ke arah pagar tersebut. Dia merapati dua orang askar yang mengawal sempadan.
             
15 minit selepas itu, Fatih kembali. Masing-masing menarik nafas lega sebaik melihat wajah gembira Fatih. Fatih memberitahu sesuatu kepada Abu Alim. Tanpa berlengah, Abu Alim mengarahkan kesemua anak muda itu turun dan membawa bagasi masing-masing. Mereka menuruti.
             
Sambil memikul beg galas dan menyorong beg bagasi beroda, mereka berjalan dengan senyap ke pagar yang memisahkan Turki dan Syria. Dua orang askar yang berkawal hanya memerhatikan pemuda-pemuda itu memanjat pagar ke kawasan Syria. Apa yang bakal menimpa mereka di sebelah sana bukannya urusan mereka. Yang penting, mereka berdua mendapat duit hasil daripada membiarkan mereka melintasi sempadan. Siapa yang tidak mahu duit?
             
Semuanya berlaku dengan pantas.
            
Fatih yang berdiri di sempadan sebelah Turki mengucapkan selamat tinggal pada Abu Alim dan pemuda-pemuda yang dibawanya. Setelah 10 minit berlalu dan pasti yang mereka tidak mengalami apa-apa situasi yang mencemaskan di sebelah sana, Fatih memberikan duit yang selebihnya kepada 2 orang askar tadi sebelum bergerak ke arah van.
             
Di Syria, kira-kira 200 meter dari sempadan, 3 buah kenderaan pacuan empat roda sudah siap sedia menunggu kedatangan mereka.
             
Selepas kesemua mereka mengambil tempat di dalam kereta, ketiga-tiga kenderaan pacuan empat roda tersebut meluncur laju membelah kegelapan malam.
             
Dan kini, Aslan dan Akhshiyat berada di kem latihan jamaat mereka.         
             
Aslan menyentuh bahagian poket seluar. ‘Pelik, kenapa macam kosong saja ni?’ Tiba-tiba dia rasa cemas. Tangan diseluk masuk ke kedua-dua poket. ‘Tak ada. Di mana ia?
              
Akhshiyat pelik melihat kelakuan Aslan.
             
“Kenapa, Aslan?”
             
“Telefon. Telefon saya tak ada…” Aslan menjawab resah.
             
“Aslan, telefon kita kan diambil untuk sebulan ni. Nanti lepas kita dah habis latihan di sini mereka akan pulangkan balik…” Akhshiyat mengingatkan.
             
Aslan mengeluh. Macam mana dia boleh terlupa yang semalam dia memberikan telefonnya kepada lelaki yang bertanggungjawab untuk melatih mereka di sini? Walaupun dia tidak kisah telefon pintarnya diambil buat sementara waktu, dia masih berharap agar telefon itu bersamanya sekarang. Sekurang-kurangnya dia dapat memaklumkan keluarganya yang dia berada dalam keadaan selamat walaupun dia tidak dapat menghubungi mereka selama sebulan. Tetapi dia tahu, jika dia berbuat begitu mereka pasti dapat mengesan panggilan yang dibuat dari Syria.  
             
Pintu bilik dikuak perlahan. Seorang anak muda menjenguk kepala ke dalam bilik mereka. “Em…abang?”
             
Aslan dan Akhshiyat sama-sama memandang anak muda itu.
             
“Kita dah nak solat berjemaah ni…” ujarnya.
             
“Kami datang sekarang,” Akhshiyat memberitahu.
             
“Okey…” balas si anak muda perlahan sebelum menutup pintu kembali.
             
“Jom ambil wudhu.” Akhshiyat menarik tangan sahabatnya sehingga lelaki itu berdiri. Mereka sama-sama keluar menuju ke tempat mengambil wudhu.

*****
             
Usai solat berjemaah dan menguruskan diri masing-masing, mereka semua duduk bersila di ruang makan. Suasana di ruang makan banglo yang menjadi tempat tinggal mereka riuh dengan suara para pemuda yang berkumpul di situ. Ada yang bercerita tentang latihan di kem, ada yang bercerita tentang hobi masing-masing, ada juga yang bercerita tentang politik Syria.
             
Pada waktu ini, kem latihan yang terletak di salah satu bukit di Latakia itu menempatkan 49 orang ahli bersama 6 orang tenaga pengajar. Ada di kalangan mereka yang tiba dua atau tiga minggu yang lalu. Oleh itu mereka sudah biasa dengan kehidupan di kem tersebut. Namun bagi Aslan, Akhshiyat, serta mereka yang baru tiba semalam, suasana ini terasa asing. Walaupun rakan-rakan yang lain menegur dan cuba memulakan perbualan dengan mereka, ternyata mereka masih kekok berbual dengan orang yang baru dikenali.
             
Aslan dan Akhshiyat yang duduk di hadapan sekali memerhatikan pemuda-pemuda yang keluar masuk dari dapur ke ruang makan. Seorang pemuda berambut hitam membawa bersamanya dua dulang besar berisi daging, kentang, serta beberapa jenis makanan lain. Dia meletakkan dulang-dulang tersebut di atas lantai sebelum membetulkan kedudukan kain rentang panjang yang menjadi alas bagi meletakkan makanan. Dulang-dulang yang dibawa, diletakkan di atas kain rentang tadi. Lama Aslan dan Akhshiyat merenung pemuda itu melakukan kerjanya. Menyedari dirinya diperhatikan, pemuda itu memandang Aslan dan Akhshiyat. Dia menghulurkan tangan untuk bersalam dengan Aslan terlebih dahulu.
             
“Abu Yusuf al-Tatari.” Pemuda itu memperkenalkan diri. Aslan menyambut huluran salam Abu Yusuf.
             
“Aslan. Aslan Sakaev.” Aslan turut memperkenalkan dirinya. Abu Yusuf kemudian menghulurkan tangan pada Akhshiyat untuk  bersalam. Akhshiyat menyambutnya.
             
“Akhshiyat Batsaraev,” ujar Akhshiyat.
             
Abu Yusuf tersenyum lalu mendekati mereka berdua. Dia membisik, “Rustam Seyfullin. Tapi di sini kunya saya Abu Yusuf al-Tatari. Jadi panggil saja saya Abu Yusuf.”
             
Aslan dan Akhshiyat sama-sama menganggukkan kepala. Abu Yusuf menyambung lagi. “Nanti awak berdua pun kena pilih kunya sebab di sini kita tak panggil guna nama betul untuk merahsiakan identiti kita daripada orang lain, contohnya, musuh-musuh. Atau…pengintip. Dan agar ahli keluarga yang kita tinggalkan tidak diganggu pihak berkuasa,” jelas Abu Yusuf.
             
“Tapi awak beritahu kami nama awak,” ujar Aslan.
             
“Awak berdua pun beritahu nama sebenar tadi juga, bukan? Tidak adillah jika saya tahu nama sebenar awak berdua tapi awak berdua pula tak tahu nama sebenar saya.” Abu Yusuf melebarkan senyuman. “Okeylah. Saya ada makanan lagi nak ambil dari dapur. Nanti kita berbual lagi,” ujarnya seraya meminta diri untuk beredar.
             
Aslan dan Akhshiyat saling berpandangan sesama sendiri.
             
“Kunya?” Aslan menyoal.
             
“Cari yang senang diingat dan baik bunyinya. Contohnya nama sahabat nabi…” cadang Akhshiyat. Aslan menggaru-garu kepala. Mereka berdua berfikir sejenak.
             
“Hm…Abu Bakar?” Akhshiyat memberi cadangan.
             
“Kunya awak?”
             
“Tak. Untuk awak.”
             
“Kenapa pula awak yang pilih kunya saya?”
             
“Supaya awak juga boleh pilih kunya untuk saya.” Akhshiyat menjawab.
             
Aslan merenung Akhshiyat yang kini tersengih sambil menayangkan muka selamba. Namun jauh di sudut hati, Akhshiyat berharap Aslan menerima kunya yang diberikannya. Dia mahu Aslan ada sesuatu untuk diingati andainya dia ditakdirkan pergi dahulu sebelum Aslan. Dia mahu Aslan mengingatinya sebagai sahabat yang menamakannya Abu Bakar. Seperti Rasulullah SAW yang bersahabat baik dengan Abu Bakar, Akhshiyat juga mahu persahabatan yang berkekalan selamanya dengan Aslan.
             
Aslan menguntum senyum. Sudah lebih 6 tahun mereka berdua bersahabat, mengharungi suka-duka kehidupan universiti bersama. Ketika dia jatuh, Akhshiyat menariknya naik semula dan begitu juga sebaliknya. Masakan dia mahu menolak nama tersebut daripada Akhshiyat?
            
“Baik. Saya Abu Bakar. Awak pula Usman, Abu Usman.”
             
“Hah? Kenapa pula ada Abu di depan nama?”
             
“Cuba awak ingat, pemuda tadi namanya Abu Yusuf. Lepas tu yang bawa kita semalam ke sini namanya Abu Alim. Kemudian yang mengimamkan sembahyang kita tadi namanya Abu Ahmad. Bukan itu maksudnya semua nama kena letak ‘Abu’ di depan?”
             
Akhshiyat mengangguk kepala tanda mengiyakan. “Yalah…”
             
“Jadi, awak Abu Usman. Dan saya, Abu Bakar.”

*****
             
Para pemuda yang berada di kem latihan diarahkan berkumpul di ruang tamu selepas sarapan. Sofa-sofa di ruang tamu dialihkan ke tepi bagi memberi mereka ruang untuk duduk di atas lantai yang beralas permaidani merah. Imam solat subuh mereka, Abu Ahmad, mengambil tempat berhadapan dengan mereka semua.
             
“Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Selamat datang saya ucapkan kepada saudara-saudara yang baru tiba semalam. Saya Abu Ahmad, salah seorang tenaga pengajar kamu di sini. 5 orang lagi ialah saudara-saudara yang berdiri di belakang kamu; Abu Basir, Abu Muslim, Abu Yunus, Hassan, dan Ismail.
             
Untuk saudara yang baru tiba semalam, saya ingin memaklumkan yang latihan kamu di sini akan berjalan selama sebulan. Selama sebulan ini kamu akan diajar asas ketenteraan seperti latihan menembak, memanjat, dan lain-lain lagi.
             
Namun sebelum itu, saudara perlu memilih kunya terlebih dahulu.   Kunya di sini kita ibaratkan seperti nama samaran. Praktis memberikan kunya kepada mujahidin bermula dalam kalangan pemimpin-pemimpin di Palestin. Contohnya Yasser Arafat, beliau turut dikenali dengan nama Abu Ammar. Kunya ini bertujuan untuk merahsiakan identiti kita semua di sini.
             
Oleh itu, saya mahu kamu ambil masa 10 minit untuk fikir kunya. Tidak apa jika ada kunya yang sama dengan rakan yang lain. Sebab kita akan tambahkan tempat asal saudara di belakang kunya. Contoh macam saya, Abu Ahmad Krymsky, kerana saya berasal dari Crimea.”
            
Pemuda-pemuda yang baru tiba saling berpandangan. Mereka mula berbincang tentang kunya yang mahu dipilih. Salah seorang daripada mereka, Ridvan, bertanya kepada Aslan.
            
“Awak berdua sudah pilih kunya?”
             
“Ya. Saya Abu Bakar. Akhshiyat pula pilih Abu Usman.” Aslan memberitahu.
             
“Ada seorang Abu Bakar di sini. Tapi dia dari Uzbekistan. Jadi, dia dipanggil Abu Bakar al-Uzbeki,” ujar Ridvan.
             
“Oh…Abu Usman ada tak?” Akhshiyat menyoal.
             
“Sekejap ya….” Ridvan menanya beberapa orang pemuda lain. Mereka kemudian  memberitahunya sesuatu. Ridvan memandang Aslan kembali. “Ada seorang dari Dagestan. Abu Usman al-Dagestani. Awak dari Chechnya, kan?” Ridvan menyoal Akhshiyat untuk kepastian.
             
“Tidak.”
            
“Eh? Bukan awak orang Chechen ke?” Ridvan jadi hairan. Setahunya Akhshiyat dari Chechnya. Kenapa pula lelaki itu menjawab tidak?
             
“Saya bukan Chechen.” Akhshiyat sengaja mengusik.
              
“Habis tu?”
             
“Saya-” Belum sempat Akhshiyat menghabiskan ayatnya, Aslan terlebih dahulu menekup mulut sahabatnya itu.
             
“Dia ni memang etnik Chechen dari Grozny. Kadang-kadang dia ada krisis identiti. Maafkanlah keanehan dia ni…” Aslan menyampuk.
             
Ridvan ketawa mendengar ayat Aslan.
             
Mereka berbual-bual seketika sebelum Ridvan memutuskan untuk mengambil kunya Abu Umar Dagestani.
             
Tempoh 15 minit yang diberikan dimanfaatkan sebaiknya. Selepas memilih kunya, mereka diberi penerangan mengenai jadual waktu mereka di kem latihan tersebut oleh tenaga pengajar.
             
Selepas taklimat selesai, mereka disuruh bersiap-siap untuk memulakan pendakian menuju ke kawasan latihan.

*****
             
Aslan mengemas beg galasnya. Dia memindahkan peralatan elektrik ke dalam beg bagasinya. Akhshiyat yang mengemas di sebelah turut melakukan perbuatan yang sama.
             
Sambil mengemas, fikiran Aslan melayang pada telefon pintarnya. Bagaimana dia mahu memaklumkan keberadaannya di Syria kepada ahli keluarganya di Ufa? Haruskah dia meminjam sekejap telefon pintar yang kini berada dalam jagaan tenaga pengajar di kem?
             
Sebulan…lamanya. Agaknya apa yang mereka buat sekarang ni? Mama mesti tengah risau. Mungkin aku patut ikut cakap Akhshiyat dan beritahu mereka sebelum aku datang sini. Tapi kalau macam tu, mereka pasti takkan lepaskan aku pergi.
             
Aslan menghela nafas. ‘Tak guna menyesal sekarang, Aslan. Kau dah pun berada di Syria.

*****
             
Kaki bukit didaki dengan pantas. Sambil itu, kepala dipusingkan ke belakang untuk melihat keadaan rakan yang dikasihi, Abu Usman. Tatkala terlihatkan Abu Bakar, Abu Usman menaikkan ibu jari sebagai isyarat dia dalam keadaan yang baik dan masih boleh meneruskan pendakian. Abu Bakar mengangguk faham. Dia memandang denai sempit di hadapan.
             
49 orang rekrut bersama 4 orang tenaga pengajar melakukan pendakian sejak 20 minit yang lalu. Destinasi mereka ialah tapak latihan. Mereka berjalan dalam satu barisan memandangkan denai yang dilalui tidaklah besar mana dan bagi mengelakkan mereka terpisah daripada kumpulan.
            
Abu Bakar mengangkat kepala, memandang langit yang biru dengan gugusan  awan yang bagaikan gula-gula kapas. Matahari memancar ke wajah keturunan Chechen miliknya yang putih melepak. Silau cahaya matahari membuat Abu Bakar mengecilkan mata. 
             
Sejam yang lalu, dia dikenali sebagai Aslan. Namun sekarang namanya sudah bertukar kepada Abu Bakar. 3 hari yang lalu dia seorang doktor pelatih. Sekarang dia seorang tentera pasukan mujahidin. Orang-orang barat pula menggelarnya sebagai pengganas agama. Tapi itu semua tidak penting. Apa yang penting ialah niatnya untuk mempertahankan dan melindungi saudaranya yang tertindas di bumi Syria.
             
Abu Bakar menumpahkan pandangan pada denai di hadapan kembali. Mujurlah suhu bulan Disember di negara itu rendah. Jika tidak, pasti dia sudah berpeluh-peluh sekarang. Datang ke Syria pada bulan Disember sememangnya langkah yang tepat.

*****
             
Satu jam tiga puluh minit.
            
Itu masa yang diambil untuk sampai ke tapak latihan. Pada awalnya Abu Bakar tidak memahami mengapa tapak latihan mereka terletak berjauhan dari kem. Sekarang barulah dia faham.
             
Tapak latihan itu luas dan besar. Permukaannya ditutupi dengan batu-batu kerikil. Tidak jauh daripada tapak latihan itu mengalirnya sebatang sungai yang jernih airnya. Kawasan sekitar pula dipenuhi dengan pokok-pokok. Menurut tenaga pengajar mereka yang bernama Abu Basir, kawasan latihan itu cuma 15 minit perjalanan dari markas jamaat. Mereka akan ditempatkan di markas jamaat sebaik sahaja mereka selesai menjalani latihan di kem.
             
Pemuda-pemuda yang baru tiba semalam berjalan ke sana-sini, meninjau-ninjau kawasan sekeliling tapak latihan. Abu Bakar dan Abu Usman turut tidak terkecuali. Riuh-rendah suasana ketika itu. Beberapa orang pelatih yang sudah lama berada di kem latihan tersebut menerangkan secara ringkas latihan yang akan mereka lalui.
             
Ada pelbagai jenis alat-alat latihan dan binaan batu tersusun kemas di kawasan luas tersebut. Melihatkan semua peralatan dan binaan di situ, Abu Bakar menyimpulkan yang mereka perlu memanjat tembok batu, merangkak di bawah kawat berduri, memanjat palang, memanjat tali, dan beberapa latihan lain. Di hujung kawasan tersebut pula terletak lapang sasar yang sederhana luas. Dari jauh Abu Bakar bisa melihat sasaran-sasaran yang diperbuat daripada papan keras berwarna hitam.
             
Abu Bakar lalu menyiku lengan Abu Usman. Abu Usman berpaling memandangnya. Keningnya berkerut-kerut menagih simpati.
             
“Saya akan mati di sini…”
             
“Fikir positif, Abu Usman.” Abu Bakar memberi semangat. “Belum cuba belum tahu,” tambahnya.
             
Aslan ni, mesti dia tak tahu yang aku naik 5 kg sejak tinggalkan universiti.
              
“Jangan risau. Belum ada lagi orang yang mati sebab jalani latihan ala-ala tentera…” ujar Abu Bakar sambil menepuk-nepuk bahu Abu Usman.
             
“Yalah tu…” balas Abu Usman

No comments:

Post a Comment